PBAKL kembalikan momentum Industri Buku | DagangNews.com Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 10 June 2022

PBAKL KEMBALIKAN MOMENTUM INDUSTRI BUKU

 

 

SETELAH tertangguh selama dua tahun, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kembali dianjurkan buat kali ke-39 tahun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula 3 Jun lalu sehingga 12 Jun ini.

 

Menyasarkan jumlah kunjungan seramai sejuta pengunjung sepanjang 10 hari acara, namun sejumlah 800,000 telah berjaya dicatat setakat hari keenam.

 

Dengan baki dua hari tersebut, dapat dijangka ia akan berjaya mengatasi sasaran yang ditetapkan, sekaligus turut mengatasi jumlah kehadiran pada penganjuran terakhir sebelum pandemik iaitu pada tahun 2019; yang mencatatkan sejuta pengunjung.

 

Sambutan yang diberikan tersebut pastinya sesuatu yang cukup melegakan bagi penggiat industri perbukuan, malah turut menjadi pemangkin semangat untuk mereka terus memeriah dan menyemarakkan industri ini.

 

Ia juga menjadi bukti kelangsungan momentum yang telah dibawakan oleh Pesta Buku Selangor pada penghujung tahun lalu.

 

Dengan majoriti buku yang didagangkan di PBAKL adalah dalam bentuk fizikal, ini membuktikan bahawa minat khalayak terhadap buku fizikal masih tinggi meskipun di kala kehidupan masyarakat  semakin akrab dengan dunia digital, terutama pasca pandemik ini.

 

Malah, tempoh dua tahun terakhir ini dilihat telah meningkatkan minat masyarakat kepada pembacaan buku fizikal yang telah diguna pakai sebagai  satu aktiviti riadah dan terapi sepanjang pandemik melanda.

 

PBAKL

 

PBAKL

 

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa PBAKL merupakan acara utama serta menjadi antara nadi yang menghidupkan dunia perbukuan di Malaysia, malah tidak keterlaluan rasanya jika dikatakan sebahagian penerbit kecil bergantung harap kepada PBAKL sebagai sumber pendapatan utama kepada perniagaan mereka.

 

Malah, PBAKL juga membuka ruang yang membolehkan judul-judul baharu diterbitkan. 

 

PBAKL dilihat sebagai platform terbaik bagi penerbit untuk melancarkan atau memulakan jualan sesebuah judul sekaligus menjadi petanda kayu ukur jangka hayat judul tersebut dalam pasaran.

 

Oleh kerana itulah, kita dapat melihat sekian banyak judul baharu yang ditampilkan oleh pihak penerbit bersempena PBAKL.

 

Namun, di tengah-tengah sambutan positif tersebut, isu baharu yang timbul serta mungkin perlu diteliti adalah isu jualan lelong buku yang semakin menjadi trend dalam PBAKL kali ini.

 

Jualan buku murah sememangnya dinantikan, namun timbul pelbagai pandangan apabila ada yang dijual lelong tidak mengikut naskah tetapi mengikut saiz plastik atau kotak yang boleh memuatkan buku-buku tersebut; seakan jualan longgok.

 

PBAKL

 

Saya percaya akan ada pendapat berbeza mengenai langkah yang diambil oleh penerbit ini sama ada dari perspektif pembeli serta penulis. Malah, penerbit juga mempunyai justifikasi tersendiri untuk melaksanakan model jualan sebegitu.

 

Kemungkinan pembeli akan gembira apabila mendapat harga yang sangat murah sekaligus meningkatkan kuasa membeli mereka - namun penulis pula pasti sebaliknya atas faktor memikirkan nilai karya mereka.

 

Kita juga memahami bahawa penerbit melaksanakannya untuk mengurangkan jumlah stok sekaligus kos penyimpanan malah perlu bagi meningkatkan aliran tunai mereka.

 

Atas pertimbangan yang pelbagai tersebut, saya melihat adalah sangat wajar hal ini diperbincangkan secara kolektif, serta memikirkan buruk baiknya secara holistik dan komprehensif.

 

PBAKL

 

PBAKL

 

Namun, di sebalik perihal terbabit yang dilihat adalah isu yang boleh diselesaikan dalam jangka masa pendek, saya suka untuk kita lebih memberikan perhatian untuk melihat sekian banyak sisi positif yang dibawakan oleh PBAKL kali ini.

 

Setelah sekian lama dunia perbukuan beroperasi secara dalam talian tanpa acara yang menghimpunkan para pecintanya, PBAKL yang digerakkan oleh banyak wajah penggerak dan jawatankuasa baharu kali ini berjaya merungkai kelesuan aktiviti perbukuan.

 

PBAKL

 

Apatah lagi, ini boleh dikatakan sebagai antara acara perbukuan berskala mega yang pertama setelah Kuala Lumpur diberikan status sebagai UNESCO World Book Capital pada tahun 2020.

 

Ini semua sudah cukup membuat debar penganjur untuk penganjuran PBAKL kali ini.

 

Di sebalik semua itu, dalam ketika kita tidak dapat menafikan bahawa budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia masih rendah, namun PBAKL menampilkan sisi berbeza sekaligus harapan - tentang potensi bahawa aktiviti membaca serta dunia perbukuan mempunyai masa depan yang optimis. – DagangNews.com

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman adalah Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).
Portfolio Tags