Skip to main content

Kenanga Research semak turun unjuran untung bersih JHM Consolidation bagi FY22-FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Ogos - JHM Consolidation Bhd. dijangka berdepan prestasi suku kedua yang mencabar berikutan beberapa masalah dalam segmen automotif dengan salah satu pelanggan utamanya terpaksa menghentikan sementara pengeluaran disebabkan isu rantaian bekalan.

 

Kenanga Research berkata, meskipun kumpulan bersedia dari segi bekalan komponen, tetapi masalahnya terletak pada pelanggan yang tidak dapat mendapatkan komponen penting yang mencukupi bagi menyiapkan produk akhir.

 

"Akibatnya, situasi ini telah menyebabkan penangguhan pesanan ke suku berikutnya. Tetapi, dari sudut positif, segmen perindurian masih merekodkan peningkatan permintaan.

 

"Ini memandangkan pelanggan utama menyediakan unjuran tempahan yang lebih tinggi pada suku berikutnya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Susulan cabaran dalam sektor automotif, firma itu mengurangkan unjuran untung bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 14% dan 16% kepada RM32.5 juta dan RM41.4 juta. 

 

Malah, Kenanga Research juga menyemak turun harga sasaran JHM kepada RM1.30 daripada RM1.40 sesaham sebelum ini, dengan pandangan 'market perform' dikekalkan. 

 

Menurutnya, perbincangan dengan pelanggan automotif baharu sedang berjalan seperti dijadualkan dan kumpulan itu kini sedang menghasilkan sampel binaan pelbagai produk untuk 2 pelanggan baharu yang layak.

 

Katanya, disebabkan sifat industri automotif di mana proses kelayakan lebih ketat dan panjang, kumpulan itu menjangkakan untuk lulus kelayakan dan memulakan pengeluaran hanya menjelang 2023.

 

"Selain itu, kerjasama dengan Jiangsu Dekai Auto Parts (Dekai) China kekal di landasan yang betul dengan selesainya pembinaan loji seluas 20,000 kaki persegi di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

 

"JHM kini mengubah suai bahagian dalaman dan membeli peralatan untuk persediaan kelayakan pada November 2022," katanya.

 

Pada masa sama, firma itu berkata, JHM juga telah memulakan perniagaan kedap kaca hermetik dengan pembelian 3 relau pengedap yang akan digunakan untuk membungkus komponen dengan rawatan haba sehingga 1,000 centigrade.

 

Komponen itu, katanya, digunakan dalam tekanan tinggi atau persekitaran sensitif seperti segmen aeroangkasa, perubatan dan automotif.

 

"Buat masa ini, kesemua relau itu telah tiba di premis kumpulan sementara menunggu ketibaan beberapa komponen teras sebelum memulakan operasi pada suku keempat tahun ini," tambahnya. 

 

Setakat 11.03 pagi ini, harga saham JHM kekal tidak berubah pada RM1.35 sesaham. -DagangNews.com