Skip to main content
DagangNews.com
Kolum WAINUIOMATA - 21 April 2022

Kanak-kanak Palestin mengukir senyuman ketika koma

 

 

SELAMA di Gaza banyak kenangan yang manis untuk kami sukarelawan seramai 45 orang untuk Misi Ramadan March for Freedom pada 11 Ogos 2000.

 

Kami tiba di kem pelarian Jabalya dengan lebih separuh daripada penduduk di Semenanjung Gaza hidup di bawah garis kemiskinan. Keadaan hidup di Gaza telah merosot kerana sekatan Israel  yang dikenakan oleh Israel terhadap Gaza.

 

Selepas itu menutup semua lintasan sempadan dengan Mesir sebagai krisis. Saya dapat merasakan sekeliling, kemanusiaan dan kekejaman Zionis.

 

Ada pesan seorang sahabat Palestin di Gaza yang kita tidak perlu menghantar begitu ramai sukarelawan ke Gaza kerana pasukan keselamatan Palestin terpaksa menjaga keselamatan sukarelawan. Ini menyusahkan orang Palestin yang perlu lakukan perkara lain yang lebih penting.

 

Selain menyediakan tempat tinggal, makanan, kenderaan untuk bergerak, orang Palestin berkata baik hantar duit sahaja dan mereka lebih tahu apa yang patut dilakukan.

 

Kalau setakat mahu glamor, tidak payahlah jadi sukarelawan.

 

wainuiomata

 

Sewaktu di Gaza, rombongan pernah ke rumah Ismail Haniyah, Perdana Mentri Gaza selain pejabat di kawasan pelarian Gaza. Saya pernah bersolat tarawikh di sebelah kanan Ismail di masjid.

 

Rumah Ismail hanya seperti rumah pelarian yang lain dan dia bersama keluarga Perdana Menteri mengajak kami makan dan berdoa sebelum menikmati makan bersama anak-anak.

 

Duduk bersama kehangatan alas duduk dan rasa cinta di antara mereka. Nampak tembok rumahnya yang sudah kusam, dan makanan sederhana serta minuman ala kadarnya.

 

Saya pertama kali ke rumah seorang perdana yang biasa dengan segala kerendahan hati yang memberikan kehidupan sewajarnya. Sebagai pelarian, Ismail cukup faham penderitaan dan kedaifan hidup.

 

 

fudzail

 

 

Pada hari pertama di Gaza saya pergi ke Hospital Kanak-Kanak untuk melihat penderitaan dan kesengsaraan yang dialami akibat keganasan rejim Israel.

 

Di hospital, saya menangis melihat keadaan kanak-kanak dengan pelbagai trauma, dari segi psikologi dan kesakitan. Ada yang tanpa kaki, tanpa tangan dan lumpuh. Saya menangis mengenang betapa bersyukur Allah melahirkan di bumi Malaysia sebagai Islam, walau tidak 100% Melayu dengan keturunan campur tetapi sebagai umat Islam.

 

Saya tiba di sebuah bilik kanak-kanak koma dan masuk melihat seorang budak perempuan berusia lima tahun tidak sedarkan diri. Budak perempuan itu tidak sedarkan diri dan matanya terpejam.

 

Saya terus menangis tersedu-sedu dengan wajah yang lembut.

 

Tiba-tiba budak perempuan itu tersenyum dan saya terkejut kerana dia koma, lantas memanggil jururawat yang sama terkejut dan mula bising kerana seorang koma boleh tersenyum. Rupanya pertama kali budak perempuan itu bergerak.

 

Saya menangis sepuas-puasnya kerana senyuman itu untuk saya dan kemudian dia kembali tidak sedarkan diri.

 

 

fudzail
Gambar hiasan.

 

 

Apabila waktu hampir petang saya pergi ke pantai Gaza melihat ramai manusia bermain, berkumpul dan bergembira. Seolah-olah tiada ada apa-apa yang berlaku dengan kehidupan seperti biasa.

 

Perempuan lelaki, kanak-kanak, OKU dan orang tua semua berseronok di bulan puasa. Memang terasa kegembiraan dan kecerian yang tidak dapat saya gambarkan.

 

Saya berjalan di sepanjang pantai yang cantik dengan landai. Kapal-kapal nelayan beratur di Mediterranean. Di daratan terlihat   bangunan penuh sesak. Hampir 3 juta orang di kawasan hanya 3 kilometer.

 

Saya bertemu dengan ramai nelayan yang baru pulang dengan membawa tangkapan ikan, udang dan sotong. Nelayan Palestin tidak dibenarkan Israel untuk berada sejauh 2 km dari pantai. Sesuatu yang sangat ditentang oleh nelayan Gaza tanpa mendapat belas kasihan pihak Israel.

 

Tetapi saya melihat kesabaran yang tinggi dalam kalangan nelayan Gaza untuk hidup dengan sekatan yang tidak menguntungkan. Nelayan Palestin akan tetap ke laut walau dengan sekatan dan halangan.

 

 

fudzail

 

 

Seorang Palestin membawa saya ke satu pusat untuk balu-balu Palestin yang hampir semuanya masih muda dan mereka saling bekerja sesama sendiri.

 

“Carilah mana yang berkenan.” Katanya tersenyum.

 

Saya terkejut kerana langsung tidak pernah terfikir ke arah itu.

 

Saya melihat balu-balu Palestin bekerja sama antara mereka untuk kehidupan dengan perbelanjaan yang terhad. Boleh dikatakan wanita Palestin adalah cantik-cantik.

 

Suami mereka telah gugur menentang Israel. Banyak bilangan balu-balu itu.

 

Saya bertanya kepada sahabat saya, adakah balu-balu ini sanggup ke Malaysia.

 

“Balu-balu ini hanya tinggal di Gaza untuk mempertahankan tanah tumpah mereka, sesiapa yang mahu mengambil sebagai isteri, mesti sanggup menetap di Gaza.”

 

Saya teruja dengan jawapan itu.

 

Saya melihat balu-balu yang cukup dedikasi dan komitmen yang tinggi untuk membantu rakan-rakan senasib.

 

Tergenang air mata memikirkan betapa tiada tarafnya saya yang melupakan sengsara Palestin apabila pulang ke Malaysia.

 

 

fudzail

 

 

Pada sewaktu malam di hotel Gaza, tingkat paling atas sedang saya tidur dengan seorang kawan, tiba-tiba lampu padam dan kami bergelap. Ada serangan kapal terbang Israel. Seluruh Gaza bergelap.

 

Serangan berterusan dan saya menggigil ketakutan dan menyorok di bawah katil.

 

Kemudian kami dipaksa turun ke bawah, rasanya 12 tingkat. Nasib terus sahur.

 

Saya terus ketakutan bila mendengar kapal terbang perang Israel.

 

Saya dibawa ke sempadan Israel di utara Gaza dengan jarak 1 km dikosongkan. Dari situ saya dapat melihat pergerakan tentera laknat Israel yang melihat ke arah Gaza.

 

Bila-bila masa tentera Israel boleh menyerang, ikut suka hati.

 

 

fudzail

 

 

Saya terpegun melihat suasana orang Palestin dengan kerja seharian tanpa mempedulikan tentera Israel. Orang Palestin tidak kisah kerana sudah menjadi kebiasaan sejak 1945.

 

Saya merasa sungguh teruja dengan semangat orang Palestin yang tinggi kerana kemiskinan dan kesukaran yang mereka hadapi.

 

Sesungguhnya saya tidak boleh bayangkan rakyat Malaysia dalam keadaan yang memencilkan dari seluruh pelosok dunia, terbiar tanpa bantuan dengan hidup sendiri menghadapi musuh.

 

Saya telah melawat tempat Sheikh Ahmed Yassin dibunuh di Gaza, Palestin.

 

 

Shaikh Ahmed Yassin
                                                   Shaikh Ahmed Yassin

 

 

Saya menangis berdiri di lokasi berhampiran masjid, membayangkan serangan  ke atas tubuhnya yang lumpuh dengan kerusi roda.

 

Pada 21 Mac 2004, helikopter tempur Israel melepaskan peluru berpandu ke arah pemimpin Hamas Shaikh Ahmed Yassin, ketika dia meninggalkan masjid selepas menunaikan solat subuh Isnin, membunuh pemimpin Hamas dan enam jemaah lain.

 

Seorang wartawan yang bergegas ke tempat kejadian selepas mendengar tiga letupan kuat menemui mayat kerusi roda Yassin yang berlumuran darah.

 

Al-Manar TV melaporkan bahawa Perdana Menteri Israel Sharon, secara peribadi menyelia pembunuhan Shaikh Yassin, yang kematiannya mungkin cubaan Sharon untuk mengalih perhatian orang ramai daripada skandal peribadinya.

 

Kami terus melawat banyak lokasi di Gaza yang hanya seluas dari 6 hingga 12 kilometer  lebar, dan mempunyai jumlah keluasan 365 kilometer persegi.

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK HIMPUNAN KOLEKSI TULISAN WAINUIOMATA

Portfolio Tags