Penjenayah alam sekitar serupa mengingkari perintah Allah | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 20 June 2023

Penjenayah alam sekitar serupa mengingkari perintah Allah

 

 

 

AGENDA kelestarian juga telah dibincangkan dalam Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Ke-17.

 

Ia bukanlah perkara baru dibincangkan bahkan ia merupakan isu lama yang dibangkitkan. Kini, perkara tersebut semakin rancak dipersoalkan setelah jelas impak dan kesan negatifnya terhadap kehidupan bukan sahaja terkait dengan kehidupan manusia bahkan seluruh isi alam.

 

Pelbagai masalah telah timbul yang menggugat keutuhan dan kelangsungan makhluk yang hidup akibat daripada ancaman krisis alam sekitar.

 

Islam sangat menggalakkan aspek penjagaan serta pemeliharaan alam sekitar bagi mewujudkan suasana selesa, aman dan seimbang. Islam melarang apa-apa bentuk aktiviti yang merosakkan alam sekitar dan apa jua yang berada di atas muka bumi ini.

 

Manusia, sebagai khalifah dan pemegang amanah di muka bumi ini, kewujudan alam sekitar di bumi ini adalah hanya sebagai pinjaman sahaja bagi membantu menjalani kelangsungan kehidupan dengan lebih baik serta untuk membantu pembangunan kehidupan manusia.


 

parafrasa

 


Dunia yang menjadi tempat tinggal ini adalah sementara dan medium perantaraan dalam perjalanan seseorang hamba bertemu dengan pencipta-Nya.

 

Segala tindakan dan perbuatan yang melibatkan hubungan dengan alam sekitar mempunyai nilai pahala dan dosa yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

 

Oleh yang demikian, ruang dan hamparan dunia ini hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya dengan menjadikan hubungan sesama manusia dan makhluk-makhluk ciptaan Allah sebagai asas kehidupan untuk memelihara kelestarian dan kestabilan alam yang telah dianugerahkan oleh Allah.

 

Hubungan harmoni antara Pencipta, manusia dan makhluk Allah yang lain adalah asas kukuh dalam merealisasikan kehendak syarak yang berperanan sebagai mewujudkan kebaikan dan menolak kemudaratan.

 

Perkataan alam sekitar terbentuk dari dua kata iaitu alam dan sekitar. Menurut Kamus Dewan (2013), alam bererti dunia atau segala yang ada di langit dan di bumi. Manakala sekitar pula berasal dari kata kitar yang bermaksud sekeliling.

 

Secara literal, alam sekitar bermaksud segala yang berada di sekeliling manusia sama ada di langit dan di bumi meskipun tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

 

Alam sekitar dapat dibahagikan kepada dua bentuk yang utama iaitu alam persekitaran semulajadi dan alam persekitaran buatan.


 

parafrasa

 


Alam persekitaran semulajadi merujuk kepada segala unsur yang diciptakan oleh Allah SWT wujud di permukaan bumi yang terdiri daripada benda-benda hidup seperti tumbuhan dan haiwan serta benda-benda mati seperti gunung, sungai, lautan dan sebagainya.

 

Selain itu, alam semula jadi juga turut melibatkan unsur-unsur lain yang wujud di udara seperti panas, sejuk, angin dan hujan.

 

Dapatlah dirumuskan bahawa alam sekitar merupakan lingkungan hidup manusia serta unsur-unsur yang wujud dalam persekitaran. Ia memainkan peranan yang penting dalam menjamin kelangsungan hidup manusia.

 

Lingkungan ini terhasil melalui nilai-nilai kehidupan yang mempunyai sumber-sumber untuk kehidupan seperti makanan, pakaian, perubatan dan juga tempat tinggal dan medium interaksi antara satu sama lain antara mereka.

 

Pelantikan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini oleh Allah merupakan tugas yang sangat besar dan amanah yang amat berat yang tidak mampu dipikul oleh makhluk selain manusia.

 

Namun, pengiktirafan tersebut bukanlah menjadi tiket untuk mengeksploitasi alam serta komponennya dengan sesuka hati sehingga menjejaskan alam sekitar.

 

Tugas menjaga, mengurus dan membangunkan alam sekitar tidak terlepas daripada tuntutan dan kehendak agama. Malah, ia merupakan ibadah bagi setiap orang Islam yang memahami ajaran agamanya agar pembangunan dapat dilakukan tanpa menjejaskan alam sekitar.


 

parafrasa

 


Ayat-ayat al-Quran dalam Surah Al-Nahl ayat 14 & 15, Surah Al’Araf ayat 57 dan Surah al-Maidah ayat 96, contohnya telah menunjukkan wujudnya interaksi antara manusia dengan hidupan yang lain. Segala yang ada di laut, di bumi malah di langit adalah untuk kegunaan manusia. Untuk menjamin penerusan hidup manusia, maka keselamatan dan kesejahteraan hidup-hidupan ini wajar dijaga dan dipelihara.

 

Hakikatnya, al-Quran telah banyak menyentuh mengenai kerosakan dan pencemaran alam yang dikaitkan dengan perbuatan manusia.

 

Antaranya dalam surah al-Rum ayat 41: “Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan benar)”.

 

Fenomena bencana alam yang berlaku ini adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri yang tidak menghargai alam sekitar dengan melakukan kerosakan kepadanya sehingga mengakibatkan ketidakseimbangan ekosistem dan mencetuskan bencana alam seperti banjir, jerebu, tanah runtuh dan lain-lain di mana ia boleh memberikan ancaman kepada nyawa manusia secara amnya.

 

Pada penulis permasalahan alam sekitar tetap menjadi agenda penting yang perlu di perhatikan dan perlu terus menerus dijadikan isu perbincangan utama kehidupan manusia.

 

Ini disebabkan sistem sokongan hidup manusia bergantung kepada kestabilan dan kesejahteraan alam sekitar. Jika perkara ini tidak dikawal dari sekarang, kemerosotan kualiti alam sekitar akan membawa kepada kemusnahan dan mengancam kesejahteraan hidup manusia.

 

Melakukan kerosakan alam hendaklah dianggap sebagai jenayah alam sekitar dan perlu dijadikan sebagai satu kesalahan.


 

parafrasa

 


Pelaku adalah penjenayah alam sekitar kerana mengingkari perintah Allah. Maksudnya penjenayah alam sekitar adalah bermaksud melanggar perintah Allah dalam membangunkan bumi, memperbaiki bumi melalui perbuatan merosakkannya.

 

Firman Allah: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi setelah Allah memperbaikinya...” (Surah al-A’raaf, ayat 56). - DagangNews.com

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

Portfolio Tags