Skip to main content

Geran Penjana RM70 juta diagih kepada syarikat asing dipersoalkan

Online Malaysia

 

KUALA LUMPUR 29 Jun – Lima syarikat multinasional iaitu Lazada, Shopee, Grab, Zalora dan Foodpanda dipilih sebagai antara penerima dana Kempen E-Dagang Mikro & PKS sebanyak RM70 juta, dan Dana Penjana Shop Malaysia Online juga RM70 juta.

Lima lagi entiti merupakan syarikat tempatan iaitu Fashion Valet (terkenal dengan produk tudung Duck), Boost, MyFave, Touch N Go dan Maybank, yang baru melancar portal e-dagang semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurut dokumen Kementerian Kewangan yang dilihat dagangnews.com, kesemua entiti di atas berperanan `menyediakan latihan, subsidi penjual dan sokongan pemasaran’ kepada perusahan mikro dan perusahan kecil & sederhana (PKS).

Kedua-dua dana ini diumumkan oleh kerajaan pada 5 Jun lalu, yang menyatakan sebanyak RM70 juta diperuntukkan daripada Bajet negara untuk disepadankan dengan platform-platform e-dagang, bermula Ogos hingga September ini.

Matlamatnya adalah mengalakkan lagi beli-belah secara dalam talian dengan kod-kod promosi dan pelbagai baucar diskaun yang disediakan menerusi platform-platform e-dagang.

Namun, pemerhati industri melahirkan rasa hairan kerana bukan sahaja daripada sudut hanya 10 syarikat terpilih, tetapi 50% merupakan entiti multinasional.

Entiti seperti Lazada, Shopee, Grab, Zalora dan Foodpanda dimiliki oleh entiti korporat gergasi dunia, yang dikira `sangat beruntung’ kerana diberi geran berpuluh juta pula oleh kerajaan Malaysia. 

Apakah dengan geran itu mutu perkhidmatan entiti multinasional di atas akan bertambah baik atau lebih murah? Tiada siapa boleh menjamin. Tanyalah pelanggan yang masih menunggu barangan yang dibeli sejak sebulan lalu. 

Maksudnya, isu kelancaran syarikat e-dagang berkait rapat dengan sistem logistik. Menurut sumber, Shopee sahaja memiliki 13,000 tempahan backlog ke Sabah dan Sarawak disebabkan masalah pengangkutan.

Perkara kedua, mengapa 10 sahaja syarikat terpilih? Dana yang sebegitu besar sepatutnya diperluas kepada seberapa banyak syarikat yang dibangun oleh rakyat tempatan. 

Kerajaan perlu menjelaskan apakah syarikat tempatan itu ada diminta memohon geran itu, apakah mereka tidak mengendahkan pelawaan dan apakah kriteria yang digunakan untuk 10 syarikat itu terpilih? – DagangNews.com

BERITA BERKAITAN : Kaji semula agihan dana PENJANA