Dua tugas berat tetapi menarik menanti di Palm Jebel Ali | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 11 August 2022

Dua tugas berat tetapi menarik menanti di Palm Jebel Ali

 

 

PADA tahun 2005 kebanyakan prasarana telekomunikasi Palm Jumeirah dengan pembangunan vila dan hotel hampir siap.

 

Tidak banyak kerja saya dan pertukaran ke Palm Jebel Ali memberikan saya kerja yang lebih mencabar kerana empat kali lebih besar dari Palm Jumeirah.

 

Dengan tawaran ketua arkitek dari Amerika, asalnya Iran beragama syiah, bernama Farhad kepada saya sebagai perancang bandar sememangnya rezeki yang tidak disangka dan impikan langsung.

 

Ghaffour, pengarah Utiliti memanggil saya, selepas Farhad bertemu dengannya. Dia orang emirati dan lebih muda dua tahun dari saya tetapi sangat menghormati kepakaran saya kerana dia hanyalah seorang jurutera awam, tidak tahu mengenai telekomunikasi dan menyerahkan semuanya kepada saya.

 

Setelah saya duduk, Ghaffour bertanya khabar seperti biasa dan seterusnya bertanya sama ada saya tahu atau tidak mengenai perancangan bandar.

 

“Sikit-sikit saya tahu dari teori.” Jawab saya.

 

“Awak tahu permintaan dari Farhad untuk meminta awak sebagai perancang bandar?”

 

“Saya tahu.”

 

“Awak bersetuju?”

 

“Saya bersetuju.”

 

“Baiklah, awak tetap ketua telekomunikasi dengan melaporkan kepada saya dan menjadi perancang bandar dengan melaporkan pada Farhad, buat sementara kerana dia minta hanya enam bulan.”

 

Saya mengangguk.


 

jebel ali

 


Saya memegang dua jawatan seperti bekerja dengan Dutel dan sebagai pengurus besar Mountain of Light di bawah Yusuf Islam. Tugas baru yang cukup mencabar dan memerlukan pengajian baru dengan pembacaan yang mendalam.

 

Jawatan ketua telekomunikasi sudah sempoi dan mudah untuk saya apalagi Palm Jebel Ali lebih kurang sama dengan Palm Jumeirah dan 15 projek hartanah Nakheel yang lain.

 

Saya kemudian bertemu Farhad dan menyatakan Ghaffour telah bersetuju untuk melepaskan saya tetapi masih memegang jawatan ketua telekomunikasi.

 

Gembira Farhad sambil memaparkan lukisan dan catatan mengenai Trunk Palm Jebel Ali yang dia sedang asyik mendalami. Farhad memberi semuanya untuk saya kerana dia ada tugasan lain.

 

Saya mendengar maklumat yang disampaikan sambil berfikir apakah corak yang akan dipaparkan untuk perancangan bandar. Saya masih dapat mempelajari kerana diberi enam bulan untuk tugasan awal sebelum kedatangan staf yang tentunya berpengalaman dan konsultan yang bakal bekerja.

 

Perancangan bandar adalah proses membangun dan mereka bentuk kawasan bandar untuk memenuhi keperluan masyarakat. Amalan ini diambil daripada beberapa disiplin seperti seni bina, kejuruteraan, ekonomi, sosiologi, kesihatan awam, kewangan dan banyak lagi dengan berusaha untuk menyediakan bandar  untuk masa hadapan.

 

Perancangan bandar mempengaruhi sistem pengangkutan, infrastruktur, susun atur dan kepadatan yang ditetapkan bagi kawasan kediaman, komersial dan perindustrian dan banyak lagi.

 

Tanpa perancangan sedemikian, bandar dengan cepat menjadi tidak cekap dan tidak menarik untuk penduduk dan perniagaan.


 

jebel ali

 


Dengan susun atur yang dirancang dengan teliti, sebuah bandar boleh menyediakan penduduknya akses kepada semua perkhidmatan penting, tempat menarik dan kemudahan.

 

Pada masa yang sama, aspek kehidupan bandar yang tidak menguntungkan dikurangkan, membawa kepada gaya hidup yang lebih sihat secara keseluruhan dan kualiti hidup yang lebih baik.

 

Reka bentuk bandar lebih memfokuskan kepada bentuk dan bentuk ruang, serta pengalaman orang ramai terhadap sesuatu tempat. Perancangan bandar memberi tumpuan kepada cara ruang ini berfungsi dengan cara yang berkesan untuk menjadikan kehidupan orang ramai lebih baik

 

Fasa utama proses perancangan bandar ialah fasa persediaan/penerokaan, fasa kebolehlaksanaan/perancangan, perancangan formal/fasa zon, fasa reka bentuk, pelaksanaan dan fasa operasi.

 

Saya hanya untuk fasa persediaan.

 

Perancangan bandar merangkumi teknik seperti: meramalkan pertumbuhan penduduk, pengezonan, pemetaan dan analisis geografi, menganalisis ruang taman, meninjau bekalan air, mengenal pasti corak pengangkutan, mengiktiraf permintaan bekalan makanan, memperuntukkan penjagaan kesihatan dan perkhidmatan sosial, dan menganalisis kesan penggunaan tanah.

 

Senarai menyemak beberapa isu yang mesti dipertimbangkan dalam perancangan bandar, apabila membangunkan atau melaksanakan dasar atau reka bentuk. Pembangunan bandar dan penggunaan tanah yang tidak cekap menyebabkan masalah kemampuan perumahan, masalah pengangkutan dan menggunakan sumber yang terhad.

 

Apalagi untuk Trunk dengan penduduk diberikan pada saya seramai 30,000 orang.


 

jebel ali

 


Saya mula merasa berat dan mula mencari di laman-laman web tentang perancang bandar dan Farhad memberikan masa untuk saya menghayati dengan bertanya kepadanya.

 

Kerja-kerja penambakan di Palm Jebel Ali mulanya berjalan dengan pantas dengan imej satelit terbaru menunjukkan kemunculan trunk itu keluar dari laut.

 

Secara keseluruhan pembangunan dengan 25 peratus ditebus guna dengan ramalan siap menjelang akhir tahun 2005.

 

Majoriti kerja penambakan melibatkan meletakkan tapak kaki di bawah air. Ini kemudiannya dibina secara beransur-ansur ke atas dan seterusnya ia kelihatan di atas air. Sepasukan lebih 300 pekerja, 14 tongkang, 11 bot tunda, 4 kapal korek dan 10 kapal lain bekerja sepanjang masa untuk memastikan tarikh akhir yang ketat untuk pembinaan pulau itu dikekalkan'.

 

Secara keseluruhan 30,000 juta meter padu pasir dan 2,000 juta meter padu batu telah diletakkan di pulau itu yang akan menjadi 4 kali lebih besar daripada Palm Jumeirah.

 

Trunk Palm Jebel Ali akan berukuran 2.4 kilometer panjang dan 450 meter lebar serta pada awalnya menurut Farhad menampilkan tema 'Sea Village'. Tarikan bertaraf dunia seperti akuarium, ikan lumba-lumba dan stadium ikan paus pembunuh bersedia untuk menarik minat penduduk dan pelancong.

 

Lapan hotel mewah akan menyediakan pemandangan laut yang tiada tandingan dan berdekatan dengan aktiviti riadah 'Sea Village' yang turut menampilkan pawagam, amfiteater dan plaza.


 

fudzail

 


Terletak kira-kira 22 kilometer dan 17 minit menaiki bot dari Palm Jumeirah akan menampilkan beberapa kelainan, termasuk terutamanya rumah air yang dibina di atas tiang, crescent yang lebih panjang, sebuah perkampungan laut dan enam marina.

 

Apabila pulau itu telah ditambak sepenuhnya, infrastruktur, termasuk jalan raya, jambatan dan lain-lain akan diletakkan di tempat dan akhirnya pembinaan bangunan kediaman, pelancongan dan komersial akan berlaku.

 

Majoriti hartanah kediaman di Palm Jebel Ali, telah dikeluarkan untuk jualan dan masa  itu hampir habis dijual. Secara keseluruhannya, terdapat kira-kira 2000 Vila Signature, Rumah Taman dan Rumah Bandar, bersama beberapa bangunan pangsapuri mewah dan 1060 Rumah Air pada kos antara 1,870,000 hingga 5,115,000 dirham setiap satu. Pangsapuri masih belum dikeluarkan untuk dijual.

 

Saya menatap segala perancangan yang Farhad telah buat dan berfikir apa projek yang boleh menambah Trunk untuk disukai oleh pelabur dan pelancong. Itu idea Farhad dan meminta pandangan saya untuk mengubah atau menambah daya tarikan.

 

Benar-benar menarik seorang yang tidak pernah menjadi perancang bandar untuk memberikan idea dan cadangan bersama skil yang belum teruji!

 

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK HIMPUNAN KOLEKSI TULISAN WAINUIOMATA

Portfolio Tags