Scomi dinyahsenarai 31 Mac 2023 selepas gagal mendapatkan masa tambahan kemukakan pelan penyusunan semula | DagangNews Skip to main content

Scomi dinyahsenarai 31 Mac 2023 selepas gagal mendapatkan masa tambahan kemukakan pelan penyusunan semula

KUALA LUMPUR 29 Mac - Scomi Group Bhd yang berstatus syarikat Nota Amalan 17 (PN17) bakal dinyahsenarai daripada bursa saham 31 Mac 2023, selepas gagal membuat bayaran penyelesaian RM8 juta kepada Malayan Banking Bhd (Maybank).

 

Mengumumkan perkara ini, Bursa Malaysia Securities berkata ia telah menolak permintaan Scomi untuk mengubah terma syarat bagi syarikat itu membayar RM8 juta kepada Maybank menjelang 15 Mac, dan menolak rayuannya untuk lanjutan masa untuk mengemukakan rancangan regularisasinya.

 

"Dalam keadaan itu, sekuriti syarikat akan dikeluarkan daripada Senarai Rasmi Bursa Securities pada hari Jumaat (31 Mac)," katanya.

 

Bulan lepas, Bursa Securities memberi Scomi lanjutan enam bulan untuk mengemukakan pelan penyusunan semulanya, menukar tarikh akhir kepada 31 Mei daripada 30 Nov 2022, tetapi dengan syarat syarikat itu membayar jumlah penyelesaian RM8 juta kepada Maybank menjelang 15 Mac.

 

Dalam pemfailan bertarikh 13 Feb, Bursa Securities berkata jika Scomi gagal memenuhi syarat itu, syarikat itu akan dinyahsenarai dalam masa dua hari pasaran selepas pengawal selia bursa dimaklumkan.

 

Scomi terjerumus ke dalam status PN17 pada Disember 2019, selepas tebaran ekuiti pemegang sahamnya susut di bawah 25% daripada modal saham terbitannya dan ekuitinya turun di bawah RM40 juta berdasarkan keputusan kewangannya bagi suku berakhir 30 Jun 2019.

 

Saham dalam Scomi telah digantung daripada dagangan pada 20 April tahun lepas selepas Bursa Securities menolak permintaan syarikat untuk lanjutan masa bagi menyerahkan pelan regularisasi. Saham itu mengelak daripada dinyahsenarai dua hari kemudian, selepas ia mengemukakan rayuan.

 

Scomi telah mengalami kerugian selama enam tahun kewangan berturut-turut yang lalu, dari 2017 hingga 2022.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2017 (FY2017), kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM107.59 juta, yang meningkat kepada RM248.48 juta pada FY2018.

 

Kumpulan itu kemudiannya menukar akhir tahun kewangannya kepada 30 Jun, dan melaporkan kerugian bersih sebanyak RM378.65 juta untuk tempoh 15 bulan berakhir 30 Jun 2019 (FY2019).

 

Scomi mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM266.24 juta untuk FY2020, dan RM16.77 juta untuk FY2021.

 

Selepas menukar akhir tahun kewangannya kepada 31 Dis, Scomi mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM45.29 juta untuk 18 bulan berakhir 31 Dis 2022 (FY2022). - DagangNews.com