RM50 juta diperuntuk kepada Pernas memperhebat usahawan francais | DagangNews Skip to main content

RM50 juta diperuntuk kepada Pernas memperhebat usahawan francais

Datuk Ewon Benedick di majlis perasmian BITe 2023 di Setia City Convention Center, Setia Alam hari ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

SETIA ALAM 4 Mac - Sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk usahawan francais melalui pelbagai skim pembiayaan di bawah Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) pada tahun ini.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Pernas sebagai agensi di bawah kementerian telah dan akan terus memberi pelbagai bantuan dan sokongan kepada usahawan. 

 

Tambahnya, ia termasuk  kemudahan pembiayaan, latihan dan membuka peluang kepada para usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk meneroka bidang keusahawanan francais.

 

“Sehingga 31 Disember 2022, sebanyak RM299 juta pembiayaan francais telah disediakan kepada 1859 usahawan francais melalui pelbagai skim pembiayaan di bawah Pernas,” katanya di majlis perasmian Business In Transformation Expo (BITe) 2023 di sini hari ini.

 

 

pernas BITe 2023

 

 

Menurutnya, peruntukan tersebut meliputi Skim Pembiayaan Francaisi/Francaisor, Skim Pembiayaan Pra-Francais/ Pra-Francaisor, Skim Pembiayaan Pra-Francais (Lisensor/Lisensi), Skim Pembiayaan BIT Pra-Francaisor/Pra-Francaisi dan Skim Recurve.

 

Sementara itu, Ewon berkata, penganjuran BITe 2023 mampu menggalakkan penyertaan usahawan baharu serta membantu usahawan mikro dan kecil memperkenalkan model perniagaan dan mengembangkan jenama mereka.

 

“Saya percaya program BIT mampu membantu usahawan mikro dan kecil menjalankan perniagaan dengan lebih kompetetif dan efisien dan dengan adanya sistem dan struktur operasi yang kukuh serta sistematik, perkembangan perniagaan berskala kecil ini boleh dimajukan sekaligus mencipta peluang perniagaan dan pekerjaan kepada orang ramai,” ujar beliau.

 

Menurut Ewon, sehingga 31 Disember 2022, Pernas telah meluluskan pembiayaan sebanyak 9.9 juta kepada 313 usahawan BIT manakala untuk tahun ini, RM2.5 juta diperuntukkan untuk program tersebut kepada 60 usahawan.

 

Selain itu, tambahnya, pakej pembiayaan pra-francaisi BIT telah ditambah baik dengan kemudahan pembiayaan sehingga RM50,000 untuk memberi peluang kepada bakal usahawan memiliki konsep perniagaan lebih baik. 

 

 

Datuk Ewon Benedick melawat booth
Datuk Ewon Benedick melawat salah satu daripada 62 usahawan yang menyertai pameran di BITe 2023 di Setia City Convention Center yang berlangsung dari 4 Mac hingga 5 Mac.

 

 

“Penambahbaikan ini telah memberi peluang kepada ramai peniaga-peniaga mikro dan kecil untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan penambahan outlet mereka,” katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, agensi tersebut menyasarkan untuk membangunkan 24 pra-francaisor dan 240 pra-francaisi daripada kalangan usahawan BIT pada tahun ini sejajar usaha menambah usahawan di samping memperbanyakkan jenama francais tempatan.

 

“Apa yang membanggakan, penyertaan usahawan-usahawan mikro di dalam program BIT telah melahirkan seramai  1,400 pra-francaisi sekaligus mencipta lebih 2,8000 peluang pekerjaan baharu,” katanya.

 

Program yang diperkenalkan pada tahun 2013 itu telah menarik pendaftaran sebanyak 140 syarikat dari pelbagai sektor. -DagangNews.com