Ramssol dapat kelulusan bagi cadangan penepian hak pemegang saham | DagangNews Skip to main content

Ramssol dapat kelulusan bagi cadangan penepian hak pemegang saham

KUALA LUMPUR 19 Okt - Ramssol Group Bhd. memperoleh kelulusan pemegang saham bagi cadangan penepian berkanun pendahuluan hak pemegang saham untuk ditawarkan dengan kedudukan saham baharu yang sama dengan saham terbitan sedia ada yang timbul daripada sebarang terbitan saham penempatan mengikut Seksyen 85 Akta Syarikat, 2016 dan Peraturan 12 perlembagaan syarikat.


 
Sejajar dengan itu, Pengarah dan/atau Setiausaha Syarikat Ramssol kini diberi kuasa untuk mengambil semua langkah yang perlu dan sesuai untuk melaksanakan, memuktamadkan dan memberi kesan sepenuhnya kepada cadangan tersebut.

 

Ia berikutan kelulusan syarikat yang diperoleh daripada pemegang sahamnya pada Mesyuarat Agung Tahunan Kedua pada 9 Jun lalu untuk Mandat Am mengenai kuasa untuk menerbitkan dan membahagikan saham menurut Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat, 2016 sehingga maksimum 10% daripada jumlah bilangan saham terbitan syarikat.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ramssol, Datuk Seri Cllement Tan Chee Seng berkata, kelulusan itu mencerminkan sokongan dan keyakinan berterusan pemegang saham terhadap hala tuju dan prospek kumpulan.

 

Katanya, ia menjadi dorongan untuk Ramssol untuk terus memacu pertumbuhan dan mencipta lebih banyak pencapaian dalam masa terdekat.

 
"Kami berterima kasih kepada para pemegang saham kerana memberi kelulusan ke atas cadangan penepian untuk pengarah kami mengeluarkan saham kepada mana-mana orang dalam bilangan atau bahagian yang boleh ditentukan oleh pengarah di bawah Mandat Am dan mengikut Peraturan 12 perlembagaan syarikat," katanya dalam kenyataan selepas menyuarat agung luar biasa (EGM) hari ini.

 

Pada 22 September lalu, Ramssol mengumumkan ia akan melaksanakan Cadangan Penempatan Persendirian, melibatkan penerbitan sehingga 10% daripada jumlah bilangan saham terbitan dalam syarikat pada harga terbitan yang akan ditentukan dan diumumkan kemudian.

 

Bilangan maksimum sehingga 22.31 juta saham baharu Ramssol yang akan diterbitkan menurut Cadangan Penempatan Persendirian dicapai selepas mengambil kira modal saham terbitan sebanyak RM29.9 juta, terdiri daripada 223.05 juta saham.

 

Berdasarkan harga terbitan ilustrasi 43.1 sen setiap saham penempatan, cadangan itu dijangka meningkatkan hasil kasar sehingga kira-kira RM9.61 juta. - DagangNews.com