Pernas suntik pelaburan RM5 juta bantu FTW Racing ke arah perniagaan francais | DagangNews Skip to main content

Pernas suntik pelaburan RM5 juta bantu FTW Racing ke arah perniagaan francais

Saraswathy Kandasamy (tengah) melihat motosikal yang dipamerkan pada majlis perasmian outlet FTW Racing di Petaling Jaya, Selangor pada 14 Mac 2023. Turut kelihatan, Datuk Hazimah Zainuddin (dua, kanan) dan Hairolsham Abu Bakar.(kiri). - Gambar DagangNews
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PETALING JAYA 14 Mac - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) memberikan suntikan pelaburan berjumlah RM5 juta kepada FTW Ventures Sdn Bhd melalui jenamanya FTW Racing sebagai usaha untuk membantu jenama itu ke arah francais. 

 

Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.5 juta bagi membolehkan FTW Racing mendapat hak eksklusif bagi jenama sukan lasak, Fox Racing untuk Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

 

"Pernas juga memberikan suntikan pelaburan RM2.5 juta lagi untuk syarikat tersebut terus berkembang sehingga mendapat hak penjualan tunggal untuk bagi jenama-jenama terkemuka di dalam industri sukan lasak serta membuka outlet-outlet di negara jiran.

 

"Melalui bantuan Pernas, FTW Ventures mempunyai sasaran untuk membuka 14 buah outlet di seluruh Malaysia dalam masa dua tahun," katanya ketika berucap pada majlis perasmian outlet FTW Racing di sini hari ini.

 

Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasamy merasmikan pembukaan outlet tersebut yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif FTW Ventures, Hairolsham Abu Bakar.

 

Menurut Hazimah, FTW Ventures telah menyertai Program Xcelerator yang dianjurkan oleh Pernas pada 2021. 

 

Katanya, melalui penyertaan program Xcelerator, Pernas menyasarkan untuk mendaftarkan jenama FTW Racing sebagai francaisor selewat-lewatnya Julai 2023. 

 

 

pernas
Datuk Hazimah Zainuddin (dua, kanan) bergambar bersama penerima Skim Pembiayaan Lisensi pada majlis perasmian FTW Racing di Petaling Jaya, Selangor pada 14 Mac 2023. Turut kelihatan, Saraswathy Kandasamy (tiga, kanan).


 
"Program Xcelerator yang disertai oleh FTW Ventures dan usahawan-usahawan lain ini merupakan program membimbing dan membangunkan usahawan berpotensi ke arah perniagaan francais. 

 

"Fokus Pernas adalah menggalakkan lebih banyak penyertaan usahawan di peringkat B40 dan M40 dalam industri francais menerusi pembangunan perniagaan dan sokongan pembiayaan," katanya.

 

 

pernas
FTW Racing mendapat hak eksklusif bagi jenama sukan lasak, Fox Racing untuk Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

 

 

pernas

 

 

Sementara itu, Hairolsham pula berkata, FTW telah mencatatkan jualan sebanyak RM11 juta menerusi penjualan produk pakaian sukan permotoran, motosikal, alat ganti motosikal, aksesori termasuk jenama mereka sendiri. 

 

BACA JUGA: Pernas labur hampir RM1 bilion untuk pembangunan industri francais

 

"Melalui pemegangan hak eksklusif ini, FTW Racing menyasarkan potensi jualan syarikat sehingga empat kali ganda pada tahun ini," katanya. - DagangNews.com