LLM, syarikat konsesi lebuh raya bekerjasama laksana sistem pembayaran tol terbuka | DagangNews Skip to main content

LLM, syarikat konsesi lebuh raya bekerjasama laksana sistem pembayaran tol terbuka

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya bekerjasama melancarkan pelaksanaan sistem pembayaran tol secara terbuka dengan mengambil kira keseluruhan persekitaran sistem tol sedia ada. 

 

LLM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya bersama syarikat-syarikat konsesi menyambut baik saranan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berhubung pelaksanaan tersebut.

 

Katanya, pelaksanaan sistem pembayaran tol secara terbuka ini juga adalah inisiatif awal bagi peralihan ke arah sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) yang giat diusahakan ketika ini. 

 

"Ini adalah merupakan langkah yang tepat dalam usaha kerajaan/kementerian memberi pilihan serta kemudahan kepada pengguna bagi tujuan pembayaran tol di lebuh raya," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, komitmen dan sokongan berterusan pengguna amatlah diharapkan untuk penambahbaikan pengoperasian lebuh raya bertol. 

 

Katanya, pihak LLM sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada pengguna lebuh raya.

 

Nanta menerusi hantaran di Facebook semalam memaklumkan, lima lagi lebuh raya bersetuju untuk melaksanakan sistem pembayaran terbuka tol yang dijangka akan dimulakan pada pertengahan September ini.

 

Lima lebuh raya itu adalah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX). 

 

Ia menjadikan jumlah keseluruhan 11 lebuh raya terlibat melaksanakan sistem tersebut bagi kemudahan pengguna. - DagangNews.com