Kontrak MOPU pacu margin pendapatan T7 Global bagi FY22-25, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Kontrak MOPU pacu margin pendapatan T7 Global bagi FY22-25, kata RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - Margin pendapatan T7 Global Berhad meningkat dengan ketara didorong oleh pendapatan berulang daripada kontrak Unit Pengeluaran Luar Pesisir Mudah Alih (MOPU) di Bayan, Sarawak dan Nong Yao, Thailand.

 

RHB Invesment Research mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pendapatan pada tahun kewangan 2022 hingga 2025 (FY22-25) sebanyak 35% disokong oleh buku pesanan RM2.6 bilion.

 

“Buku pesanannya diterajui oleh dua MOPU tersebut dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) yang disokong lagi oleh peningkatan kerja sambungan & pentauliahan (HUC) serta penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) dan pengembangan margin,” ujar firma tersebut dalam nota hari ini.

 

Menurut firma itu, kontrak pajakan 10 tahun MOPU Bayan menyediakan purata keuntungan sebelum cukai (PBT) berulang sebanyak RM13 juta setahun, manakala MOPU Nong Yao bersedia menyumbang purata PBT RM8 juta setahun menjelang FY24.

 

“Dengan kedua-dua MOPU menyumbang lebih 50% daripada buku pesanan bernilai RM2.6 bilion, kami melihat sumbangan secara kumulatif 23% dan 36% daripada PBT tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25),” katanya.

 

Kumpulan itu juga sedang membuat tender dua lagi projek MOPU dan menyasarkan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu projek MOPU setiap dua tahun.

 

Di samping itu, perkhidmatan minyak dan gas (O&G) huluan kumpulan itu harus terus mendapat manfaat daripada peningkatan perbelanjaan modal dan operasi syarikat minyak

 

Firma itu berkata, kumpulan itu sedang mencari tender untuk kontrak Penyelenggaraan, Pembinaan dan Pengubahsuaian Pan Malaysia (PM-MCM) yang dijadualkan dibuka untuk bidaan mulai 2024 dan seterusnya.

 

“Menurut laporan Tinjauan Aktiviti Petronas 2023 hingga 2025, firma minyak negara itu menyasarkan peningkatan yang besar sebanyak 47% dan 37% tahun ke tahun (YoY) dalam aktiviti HUC dan MCM pada 2023 sahaja,” jelasnya.

 

Infrastruktur BHS yang merupakan projek baharu cabang pembinaanya turut memberi manfaat kepada kumpulan itu, di mana Malaysia Airports Holdings Berhad telah menganugerahkan kontrak penggantian aset BHS pada Disember 2022 untuk tempoh tiga tahun.

 

Tiada saranan dikemukakan oleh firma tersebut namun nilai saksama (FV) diberikan pada 53 sen sesaham berdasarkan 14x FY23 P/E. -DagangNews.com