ATS peruntuk RM180 juta perluas kapasiti kilang sarung tangan getah | DagangNews Skip to main content

ATS peruntuk RM180 juta perluas kapasiti kilang sarung tangan getah

KILANG Pearl Glove Di Sungai Petani Kedah

KUALA LUMPUR: AT Systematization Bhd (ATS), memperuntukkan dana sebanyak RM180 juta untuk menambah kapasiti kilang pengeluaran sarung tangan getah Peral Glove (Malaysia) Sdn. Bhd. yang baharu dimilikinya.

AT Systemization mengumumkan syarikat itu telah memeterai perjanjian pernjualan saham untuk mengambil alih 100 peratus kepentingan di dalam Pearl Glove bernilai RM22 juta yang memiliki kilang di Sungai Petani, Kedah.

Syarikat itu akan serta-merta menyertai industri sarung tangan menerusi pembelian ke atas pengendali sarung tangan siap guna itu, yang membuat sarung tangan perindustrian dan keselamatan, menurut ATS dalam kenyataan di Bursa Malaysia.

Menurut AT Systemization, prospek terdekat bagi perniagaan sedia ada Pearl Glove, sebagai pembuat peralatan tulen atau pembuat rekaan tulen sarung tangan keselamatan yang sudah diyakini dan teruji, adalah amat positif.

``Ini memandangkan permintaan terhadap sarung tangan perindustrian meningkat secara berkadar sejajar amalan kesihatan dan keselamatan tempat kerja yang semakin bertambah baik di seluruh dunia," katanya.

ATS berkata, ia akan memanfaatkan kepakaran dan rangkaian sedia ada Pearl Glove dalam pembuatan sarung tangan untuk mengambil peluang daripada permintaan yang besar susulan pandemik COVID-19.

Ia akan direalisasikan menerusi perancangan usaha perluasan untuk menjadikan Pearl Gove sebagai pembuat sarung tangan pemeriksaan nitril gred perubatan sepenuhnya, dengan keupayaan menghasilkan sehingga 3 bilion keping sarung tangan, dalam tempoh 36 bulan.

Sebagai permulaan, katanya, syarikat berhasrat membangunkan empat barisan pengeluaran sarung tangan nitril gred perubatan dalam tempoh empat bulan selepas selesai urusan pengambilalihan.

"Empat barisan pengeluaran baharu itu berupaya mengeluarkan kira-kira 600 juta keping setahun.

"Disebabkan keperluan segera untuk peralatan perlindungan peribadi ekoran penularan pandemik, kumpulan sudah menerima pertanyaan daripada bakal pelanggan dari dalam dan luar negara, untuk membeli semua kapasiti pengeluaran empat barisan pengeluaran baru itu," katanya.

Untuk mempercepatkan rancangan pengembangan dan memenuhi permintaan untuk sarung tangan perubatan, syarikat itu juga sudah mengenal pasti sumber bekalan bagi empat barisan pengeluaran baru daripada beberapa pembekal.

"Baki barisan pengeluaran akan dibangunkan secara berperingkat dalam tempoh sepanjang 36 bulan datang," kata kenyataan itu. – DagangNews.com