Western Gold disenarai di Bursa Australia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Western Gold disenarai di Bursa Australia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Western Gold Resources Limited (Western Gold) membuat kemunculan pertama sebagai syarikat tersenarai di Bursa Australia (ASX) hari ini, diterbitkan pada kadar AU$0.20 atau sekitar RM0.62 sesaham.

 

Sebagai rekod, TS Law Group yang merupakan sebuah kumpulan syarikat berpelbagai dari Malaysia serta terlibat dalam industri seperti pengeluaran keluli, perlombongan dan pembangunan hartanah merupakan pemegang saham besar Western Gold.

 

Pengerusi Western Gold, Gary Lyon berkata, penyenaraian itu mencerminkan keyakinan oleh pelabur dan pasaran. 

 

“Penyenaraian ini akan membantu kita menyedari potensi sebenar sumber emas yang terletak di Wiluna West Gold Project memandangkan kami berhasrat untuk menggunakan dana itu bagi tindakan susulan simpanan emas yang diketahui, secara agresif sambil memperhebatkan penerokaan kawasan yang terdapat sasaran agak besar dan belum diuji.

 

“Kesemua aktiviti ini akan membantu memacu pengeluaran emas serta meningkatkan sumber mineral dan keyakinan terhadap anggaran mineral yang dilakukan awal tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ujar beliau, Australia terus kekal sebagai penjana tenaga komiditi dengan perlombongan terus menjadi penyumbang penting kepada ekonomi.

 

Pada tahun 2020, eksport emas melonjak 12% kepada AU$27 bilion atau kira-kira RM84.09 bilion susulan harga yang tinggi dan kesan daripada pelaburan dalam pengeluaran emas sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Walaupun terdapat penularan COVID-19, namun jelas Lyon, eksport sumber Australia termasuk mineral, logam dan tenaga menyumbang 62% daripada jumlah eksport yang menjana hasil sebanyak AU$270 bilion atau sekitar RM840.90 bilion.

 

“Kami menjangkakan aktiviti penerokaan dan pengeluaran emas akan berterusan memandangkan emas sentiasa mempunyai daya tarikan, sebagai barang kemas, simpanan harta dan pelindung nilai daripada inflasi. 

 

“Sebagai sebuah logam perindustrian, ia sangat serba boleh dan digunakan secara meluas antaranya dalam pembuatan alat elektronik, perubatan berketepatan tinggi dan pergigian.

 

“Kami berharap penyenaraian kami akan menarik lebih ramai pelabur yang dapat melihat nilai aktiviti dan penerokaan syarikat, disokong oleh logam yang dinamik dan peranannya dalam ekonomi global,” jelas beliau lanjut.

 

Wiluna West Gold Project terletak 750 kilometer (km) dari utara Perth, Australia yang terdiri daripada tujuh perlombongan, meliputi 85.8 km persegi dengan anggaran 293.000 auns emas dan kelas emas 2.0 berdasarkan anggaran sumber mineral yang dikemas kini pada tahun 2021.

 

Western Gold secara langsung mengawal Wiluna West Gold Project menerusi anak syarikat milik penuhnya, Wiluna West Gold Pty Ltd. - DagangNews.com