Vaksin Convidecia dos tunggal diluluskan Kementerian Kesihatan sebagai dos penggalak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vaksin Convidecia dos tunggal diluluskan Kementerian Kesihatan sebagai dos penggalak

KUALA LUMPUR 21 Mac -  Solution Group Bhd (SGB) melalui anak syarikat milik penuhnya, Solution Biologics Sdn. Bhd. (SOLBIO) yang merupakan rakan pembuatan CanSino Biological Inc (CanSino) di ASEAN mengumumkan vaksin Convidecia dos tunggal sudah diluluskan Kementerian Kesihatan sebagai dos penggalak.

 

Convidecia ialah vaksin berasaskan vektor adenovirus jenis-5 untuk COVID-19 manakala vaksin lain yang tersedia kebanyakannya adalah vaksin tidak aktif atau jenis mRNA.

 

Kementerian Kesihatan menerusi satu pengumuman hari ini, meluluskan penggunaan vaksin Convidecia sebagai dos penggalak untuk individu dewasa berusia melebihi 18 tahun yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Sinovac untuk tempoh sekurang-kurangnya 3 bulan.

 

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan SGB, Datuk Dr. Mohd. Nazlee Kamal berkata, kelulusan yang diberikan Kementerian Kesihatan memberikan rakyat Malaysia lebih banyak pilihan untuk dos penggalak dan paling penting keselamatan serta keberkesanan Convidecia untuk mengekang penularan COVID-19.

 

"Kelulusan itu membawa maksud vaksin Convidecia boleh membantu meningkatkan kadar dos penggalak dalam usaha mengekang penularan virus Omicron terutama dalam kalangan golongan berusia dan komorbid.

 

"Kegunaan dos penggalak jenama berbeza berbanding dos vaksin juga lebih berkesan berbanding menggunakan jenama yang sama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

vaksin

 

Berdasarkan ujian klinikal yang dijalankan di Pusat Kawalan Penyakit Wilayah Jiangsu, dos penggalak Convidecia yang digunakan kepada mereka yang sudah menerima vaksin meneutralkan daya ketahanan badan sebanyak 78 kali ganda selepas 14 hari pengambilan berbanding 15.2 kali ganda dengan menggunakan vaksin mRNA.

 

Ujian klinikal juga membuktikan mereka yang menerima dos tunggal Convidecia sebagai dos penggalak selepas menerima vaksin mRNA disahkan selamat dan mempunyai tahap keberkesanan tinggi.

 

Daripada 133 juta dos yang diberikan sama ada sebagai dos tunggal atau dua kali ganda, 15.2 juta atau kira-kira 20% daripada semua yang divaksin adalah vaksin CanSino dos tunggal. 

 

Laporan itu menunjukkan bahawa vaksin CanSino mempunyai salah satu daripada jumlah kadar ESAVI terendah iaitu 0.10%, bersamaan dengan vaksin tidak aktif Sinovac.

 

SOLBIO juga bekerjasama dengan CanSinoBIO untuk mewujudkan vaksin versi sedutan yang dijangka meluaskan tindak balas imun terhadap COVID-19. - DagangNews.com