Usaha sama Gas Malaysia mulakan operasi loji CHP di Pulau Pinang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

 Usaha sama Gas Malaysia mulakan operasi loji CHP di Pulau Pinang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Mac - Usaha sama Gas Malaysia Bhd dengan Tokyo Gas Engineering Solutions Corp telah memulakan operasi loji gabungan haba dan kuasa (CHP) untuk pelanggan ketiganya, Fatty Chemical (Malaysia) Sdn Bhd (FCM), di Prai, Pulau Pinang.

 

Pembekal gas itu berkata, syarikat usaha samanya, Gas Malaysia Energy Advance Sdn Bhd (GMEA) memeterai perjanjian bekalan tenaga dengan FCM, yang termasuk penyediaan sehingga 6.7MW kuasa dan 35 tan wap sejam kepada FCM bagi tempoh 15 tahun.

 

Dengan potensi mengurangkan hampir 18,000 tan karbon dioksida setahun, teknologi CHP diunjurkan memberi sumbangan besar kepada matlamat kelestarian FCM, tambahnya dalam satu kenyataan.

 

Teknologi yang dikenali sebagai penjanaan bersama itu turut dirujuk sebagai sistem CHP, menghasilkan kedua-dua elektrik dan haba daripada satu sumber bahan api.

 

Ia menjana elektrik dan menangkap haba, yang secara tradisinya akan dibazirkan, untuk menyediakan tenaga haba yang berguna.

 

Menurut Gas Malaysia, sistem CHP memenuhi keperluan pelanggan sektor perindustrian yang memerlukan tenaga elektrik dan tenaga haba berguna seperti wap atau air panas.

 

Tambahnya, ia juga diiktiraf kerana keupayaannya untuk meningkatkan kecekapan tenaga sehingga 87%.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, sistem CHP menonjol kerana jejak alam sekitarnya yang positif memandangkan industri memberi penekanan untuk menerima pakai amalan perniagaan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, terutamanya dalam konteks mengurangkan pelepasan karbon dioksida.

 

"Ia mewakili rumusan menyeluruh yang bukan sahaja berkesan menangani keperluan tenaga pelanggan tetapi juga selaras dengan keperluan untuk memupuk masa depan yang lebih mampan dan mesra alam," tambahnya. - DagangNews.com