KUALA LUMPUR 11 Dis - UOB Malaysia mengumumkan kejayaan penetapan harga dan penempatan persendirian Sukuk Musharakah Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) Lestari ASEAN bertempoh empat tahun bernilai RM365 juta untuk Kumpulan EXSIM.
Ia merupakan terbitan hijau EXSIM yang sulung di bawah Rangka Kerja Sukuk SRI ASEAN yang baru ditubuhkan. UOB Malaysia adalah Pengatur Utama dan Pengurus Utama bagi urus niaga ini.
Sukuk Musharakah SRI Lestari ASEAN, diiktiraf AA3 dengan tinjauan yang stabil oleh RAM Holdings Berhad, turut disokong Kertas Komersial Islam tidak bertaraf berjumlah RM85 juta.
Terbitan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelabur, di mana jumlah pesanan telah melebihi saiz terbitan sebanyak 3.9 kali ganda.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk terus menyokong Kumpulan EXSIM, pelanggan setia UOB Malaysia, ke arah pertumbuhan dan kemampanan syarikat.
Katanya, kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk terbitan kemampanan sulung syarikat di bawah Rangka Kerja Sukuk SRI ASEAN yang baru ditubuhkan sememangnya satu penghormatan kepada pihaknya.
"Sambutan yang sungguh memberangsangkan bagi terbitan ini jelas menunjukkan permintaan yang semakin meningkat di kalangan pelabur untuk pelaburan hijau yang berkualiti serta keyakinan mereka terhadap projek pembangunan hijau EXSIM.
"Pengguna Malaysia terus beralih ke arah amalan kemampanan, dan memandangkan ini, sektor hartanah hijau mempunyai potensi besar dan boleh menyumbang dengan ketara kepada matlamat sifar bersih Malaysia.
"UOB Malaysia komited untuk memanfaatkan kepakaran kami dalam menyokong pembangunan sektor ini serta peralihan pelanggan kami mencapai kemampanan dan sekali gus menangkap peluang baharu," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Hasil daripada terbitan Sukuk Musharakah SRI Lestari ASEAN ini akan digunakan penerbit untuk memperoleh aset terkini yang layak Kumpulan EXSIM, iaitu kepentingan benefisial dalam dua projek pembangunan mereka - D’Clover dan D’Terra Residences.
Projek pembangunan kediaman itu, terletak di Damansara Perdana, telah menerima pensijilan sementera Emas daripada GreenRE.
Pengarah Urusan Kumpulan EXSIM, Lim Aik Hoe berkata, pihaknya sukacita mendapat sokongan daripada UOB Malaysia sekali lagi yang telah menghasilkan terbitan Sukuk SRI Lestari ASEAN pertama EXSIM untuk mengewangkan projek hijau ini.
"Kami komited terhadap penjagaan alam sekitar yang mana pembangunan secara bertanggungjawab dan gaya hidup yang mementingkan alam dapat wujud bersama, justeru menimbulkan nilai berpanjangan bukan sahaja untuk pembeli rumah bahkan untuk bumi kita," katanya. - DagangNews.com








