Untung bersih T7 Global meningkat 2 kali ganda kepada RM2.65 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih T7 Global meningkat 2 kali ganda kepada RM2.65 juta

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Untung bersih T7 Global Bhd. meningkat dua kali ganda kepada RM2.65 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 daripada RM1.35 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh berkenaan bagaimanapun susut sedikit kepada RM53 juta berbanding RM54.19 juta. 

 

Margin keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) pada suku kedua itu meningkat kepada 5% daripada 2.5% tahun sebelumnya, terutamanya hasil daripada pengurusan kos projek yang lebih baik.

 

Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2022, PATAMI meningkat 65.7% kepada RM5.4 juta terutamanya disebabkan pertumbuhan 8% pendapatan kepada RM114.9 juta pada tempoh berkenaan. 

 

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi T7 Global, Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani N. Hassan Thani berkata, semua segmen perniagaan kumpulan mencatat momentum pertumbuhan di sebalik berdepan tempoh mencabar. 

 

Katanya, projek Bayan MOPU dijangka mula menyumbang kepada keuntungan kumpulan dalam tempoh 10 tahun lagi.

 

"Dengan kontrak lain dalam tangan seperti Perkhidmatan Telaga Bersepadu dan Perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembinaan dan Pengubahsuaian, kami optimis untuk mencapai keputusan yang memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

"Kami akan terus melaksanakan projek sedia ada, di samping membida projek baharu di ketiga-tiga segmen perniagaan kumpulan," katanya. 

 

Ketika ini, T7 Global memiliki nilai kontrak berjumlah RM2.2 bilion, yang akan memberi pendapatan kepada kumpulan dalam tempoh beberapa tahun akan datang. - DagangNews.com