Untung bersih Kenanga Investment Bank melonjak 33% kepada RM72.6 juta pada FY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Kenanga Investment Bank melonjak 33% kepada RM72.6 juta pada FY23

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga, Datuk Chay Wai Leong
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - Kenanga Investment Bank Berhad mencatat keuntungan bersih RM72.6 juta pada tahun kewangan 2023 (FY23), 33% lebih tinggi daripada RM54.5 juta dalam tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bank pelaburan itu pula meningkat 13.5% kepada RM821 juta bagi FY23 berbanding RM723 juta tahun sebelumnya, dengan pendapatan sesaham (EPS) menokok kepada 10.04 sen daripada 7.50 sen.

 

Ia mengisytiharkan dividen 7 sen sesaham untuk FY23 yang dianggarkan berjumlah RM51.5 juta.

 

Menurut Kumpulan Kenanga, prestasi lebih baik yang dicapai ini terutamanya disokong oleh pendapatan perdagangan dan pelaburan lebih tinggi, peningkatan yuran pengurusan, kutipan hutang lapuk lebih tinggi dan bahagian keuntungan lebih tinggi daripada syarikat-syarikat bersekutu. 

 

Pada FY23, pendapatan bersih kumpulan mencecah RM652.2 juta, naik 6.9% daripada RM610 juta, manakala pulangan atas ekuiti meningkat 1.6% kepada 6.9%.

 

Meskipun berdepan tempoh mencabar pada 2023, Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga, Datuk Chay Wai Leong berkata kumpulan itu sekali lagi mencatatkan tahun yang kukuh, mencerminkan kekuatan yang diperoleh daripada ketangkasan dan kepelbagaian rangkaian perniagaan.

 

Bagi prospek 2024, pertumbuhan ekonomi negara dijangka kukuh dengan keluaran dalam negara kasar kukuh antara 4.5% hingga 5%, didorong oleh kegiatan ekonomi yang kembali normal, katanya dalam satu kenyataan media.


Namun begitu, Chay menekankan potensi risiko akibat kemelesetan ekonomi global berikutan persekitaran kadar faedah lebih tinggi yang diterajui oleh ekonomi negara maju, selain peningkatan ketegangan geopolitik melibatkan Israel-Palestine dan peperangan Ukraine-Rusia yang berlarutan.

 

“Meskipun cabaran yang pelbagai ini, tinjauan kami bagi Kumpulan Kenanga kekal optimistik, tetapi berwaspada pada masa yang sama.

 

"Berlandaskan pengalaman kukuh selama 50 tahun dalam pasaran modal Malaysia, kami berpegang pada komitmen untuk menggalakkan kerjasama, memacu inovasi dan menyepadukan amalan perniagaan mampan sepanjang rantaian nilai kami. 

 

“Dengan kewibawaan dan kebolehsesuaian untuk terus menempuh dunia perniagaan semasa,  Kumpulan Kenanga berada di kedudukan yang kukuh untuk mengekalkan momentum pertumbuhan dan menjana nilai bagi pemegang saham,” ujar beliau.

 

Pada pukul 3:53 petang ini, saham Kumpulan Kenanga telah menokok 3 sen atau 2.8% kepada RM1.12 dengan permodalan pasaran bernilai RM824.1 juta. - DagangNews.com