Unifi TV Originals tawar kandungan siri filem kisah lagenda, cerita rakyat dan isu sosial  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unifi TV Originals tawar kandungan siri filem kisah lagenda, cerita rakyat dan isu sosial 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Okt - Unifi TV melancarkan Unifi TV Originals, produksi aslinya sendiri untuk memberikan kepelbagaian dan lebih banyak kandungan bernilai untuk para penontonnya. 

 

Barisan siri dan filem berkenaan disesuaikan dengan citarasa tempatan untuk memuaskan hati penonton yang merangkumi kisah legenda, cerita rakyat dan isu sosial yang biasa didengari rakyat Malaysia.

 

Ketua Pegawai Komersial TM dan Naib Presiden Eksekutif Unifi, Anand Vijayan berkata, pihaknya teruja untuk melancarkan Unifi TV Originals di saluran Degup. 

 

"Produksi asli ini membolehkan kami bersaing dengan platform dan penyedia kandungan lain, menawarkan kandungan yang lebih pelbagai kepada penonton kami. Ini juga akan mewujudkan peluang kepada industri hiburan tempatan untuk mempamerkan karya mereka," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Anand, siri-siri asal yang selebihnya merangkumi genre aksi, seram dan thriller akan dilancarkan dalam tempoh 12 bulan akan datang. 

 

Katanya, bekerjasama dengan bakat berpengalaman dalam industri akan memastikan penyampaian drama bersiri dan filem berkualiti tinggi.

 

"Kami berharap ia akan menghasilkan kandungan terbaik untuk pelanggan Unifi TV, sambil menyokong industri hiburan tempatan,” akhiri Anand.

 

Sementara itu, penonton dapat menikmati siri dan filem Unifi TV Original bermula dengan siri pertama 'Nak Dengar Cerita Hantu?' arahan Sabri Yunus dan ditulis oleh Sophillea. 

 

Ia merupakan siri 8 episod lagenda dan cerita rakyat Malaysia yang diturunkan dari generasi ke generasi. 

 

Barisan pelakon yang menampilkan bakat tempatan tersohor seperti Namron, Beto Kusyairi, Nora Danish, Uqasha Senrose, Elizabeth Tan, Sean Lee, Thanuja dan ramai lagi akan memastikan siri ini memenuhi citarsa rakyat tempatan. 

 

Orang ramai boleh menyaksikan tayangan perdana pada 27 Oktober 2023 dengan episod baharu setiap Jumaat jam 9 malam, secara eksklusif di Degup (saluran Unifi TV 120). 

 

Bekerjasama dengan syarikat-syarikat produksi tempatan, Golden Adventure Creative (Nak Dengar Cerita Hantu?), NS Star Sdn. Bhd. (siri Gemersik Berbisik) dan Nuansa Sdn. Bhd. (siri Bara Jiwa) dengan pengarah dan pelakon terkenal seperti Sabri Yunus, Osman Ali, Amorizan, Elisya Sandha, Ezzrin Loy, Yasmin Hani dan ramai lagi.

 

Unifi TV berhasrat menghasilkan kandungan yang berkualiti tinggi dan menarik, untuk penontonnya melalui Unifi TV Originals. - DagangNews.com