UiTM, JWC Roastery jalin kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, penyelidikan industri kopi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UiTM, JWC Roastery jalin kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, penyelidikan industri kopi

UiTM dan JWC Roastery menjalin kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan industri kopi.  
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan JWC Roastery Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik bagi menyediakan platform perkongsian pengetahuan dan pertukaran pandangan antara penyelidik UiTM dan pakar daripada JWC Roastery dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan industri kopi.  

 

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, Microwave Research Institute sebagai salah satu Pusat Kecemerlangan di UiTM dikenal pasti sebagai rakan yang mampu untuk membantu JWC Roastery.

 

Katanya, ia membolehkan JWC Roastery menjalankan penyelidikan dan proses penggredan biji kopi khas yang memenuhi standard tinggi untuk ditawarkan kepada penggemar kopi.

 

"Kopi dan akademik menjadi intipati perjanjian ini, yang mana UiTM dan JWC Roastery bersatu untuk menyediakan platform unik bagi pelajar mendalami industri kopi, sementara pihak industri mendapat akses kepada bakat dan kebolehan para penyelidik UiTM," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

uitm
Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin (dua, kiri) dan Nelson Lai Sze Chern (dua, kanan) bertukar dokumen selepas memeterai MoU antara UiTM dan JWC Roastery pada 30 Januari 2024.

 

 

Pada majlis yang sama, Shahrin dan Ketua Pegawai Eksekutif JWC Roastery, Nelson Lai Sze Chern memeterai memorandum persefahaman (MoU) tersebut pada 30 Januari 2024.

 

 

uitm

 

 

 Perjanjian itu menjadi titik permulaan kerjasama yang diharapkan dapat mencipta inovasi dan meningkatkan standard industri kopi negara. - DagangNews.com