UEM Edgenta disenaraikan dalam penerbitan julung-julung kali Fortune Asia Tenggara 500 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UEM Edgenta disenaraikan dalam penerbitan julung-julung kali Fortune Asia Tenggara 500

Petugas UEM Edgenta “Command and Contact Centre” yang terletak di Menara UEM, Kuala Lumpur.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Jun - UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) disenaraikan di dalam penerbitan julung-julung kali Fortune Asia Tenggara 500, sekaligus menonjolkan pertumbuhan dan sumbangan ketara syarikat tersebut di rantau ini. 

 

Diiktiraf dalam kalangan syarikat terbesar di rantau ini berdasarkan hasil, pencapaian ini mencerminkan prestasi pertumbuhan kukuh serta kehadiran serantau UEM Edgenta. 

 

Senarai ini menampilkan syarikat terbesar dari tujuh buah negara Asia Tenggara mengikut hasil bagi tahun fiskal 2023 dan mengakui rantau itu sebagai salah satu kawasan yang paling dinamik dan berkembang pesat dalam ekonomi global. 

 

Julat pendapatan minimum untuk disenaraikan adalah AS$460.8 juta (RM2.17 bilion). 

 

Senarai itu turut menampilkan syarikat  dari enam negara Asia Tenggara lain bersama-sama Malaysia: Indonesia, Thailand, Singapura, Vietnam,  Filipina dan Kemboja. 

 

Indonesia mendahului dengan 110 syarikat, diikuti oleh Thailand dengan 107, Malaysia  dengan 89 dan Singapura dengan 84. 

 

edgenta

 

Vietnam merupakan tuan rumah kepada 70 syarikat, manakala Filipina dan Kemboja masing-masing mempunyai 38 dan dua syarikat di dalam senarai tersebut. 

 

Di dalam kategori industri Perkhidmatan Penyumberan Luar Terpelbagai (Diversified Outsourcing Services), UEM Edgenta merupakan salah satu daripada lima syarikat di rantau ini yang berjaya disenaraikan. 

 

Di antara 89 syarikat Malaysia, UEM Edgenta menduduki tempat ke-65 berdasarkan hasil, tempat ke-72 dan ke-74 masing-masing berdasarkan aset dan keuntungan. 

 

Dengan penyenaraiannya di dalam senarai Fortune Southeast Asia 500, UEM Edgenta kini telah menyertai kumpulan elit organisasi yang diiktiraf di bawah francais Fortune 500, yang merangkumi Fortune 500, Fortune Global 500, Fortune Europe 500 dan Fortune China 500. 

 

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, pihaknya amat berbangga menjadi sebahagian daripada senarai julung-julung kali Fortune Asia Tenggara 500. 

 

Kata beliau, pengiktirafan ini merupakan pengesahan penting kedudukan UEM Edgenta sebagai peneraju pengurusan aset serantau dan pemain penyelesaian infrastruktur. 

 

"Kejayaan pelaksanaan strategi pertumbuhan serantau kami  berpaksikan kepada kualiti dan penyampaian perkhidmatan kami yang diiktiraf di peringkat global, dilengkapi dengan pendekatan pelaburan yang berdisiplin melalui strategi pelbagai-rakan kongsi. 

 

Pencapaian ini  menekankan komitmen kami bagi menyampaikan nilai jangka panjang untuk pemegang saham kami sekaligus mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju dalam industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Untuk maklumat lanjut tentang UEM Edgenta, layari https://www.uemedgenta.com

 

UEM Edgenta adalah syarikat Pengurusan Aset dan Penyelesaian Infrastruktur terkemuka di rantau ini dan anak syarikat UEM Group. 

 

Disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, kepakaran UEM dgenta meliputi bahagian Healthcare Support dan Property & Facility Solutions, serta Infrastructure Services yang merangkumi penyelesaian untuk lebuh  raya dan rel, termasuk pengurusan projek dan perkhidmatan kejuruteraan menerusi OPUS Consultants.   - DagangNews.com