KUALA LUMPUR 30 Okt - Kumpulan Tune Protect Berhad dan AirAsia Aviation Group Ltd kini menawarkan insurans perjalanan dipertingkatkan, iaitu AirAsia Comprehensive Travel PLUS, yang menampilkan tambahan perkhidmatan kemasukan hospital tanpa tunai.
Bermula 19 Oktober 2023, ciri inovatif dalam polisi diterbitkan oleh Tune Protect Malaysia dan Thailand ini menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar dan bebas daripada masalah apabila memerlukan bantuan perubatan di luar negara.
Pelan AirAsia Comprehensive Travel PLUS menawarkan premium permulaan serendah RM74 untuk pelan perjalanan pergi balik.
Pelan ini terbuka kepada pelancong yang berlepas dari Malaysia dan Thailand, dan boleh diakses dengan mudah melalui semua platform tempahan dalam talian dan luar talian AirAsia, termasuk ciri Manage My Booking dan Daftar Masuk Dalam Talian melalui aplikasi airasia MOVE.

Ketua Pegawai Rakan Kongsi Tune Protect, Janet Chin berkata kerjasama dengan AirAsia ini menyediakan perlindungan insurans yang komprehensif kepada penumpang dan juga memudahkan proses mendapatkan rawatan perubatan di negara asing.
“Penambahan baharu ini, dapat melegakan kesulitan membayar kemasukan hospital semasa melancong ke luar negara, yang boleh memberi kesan terhadap kewangan mereka.
“Ini mencerminkan komitmen kami untuk menawarkan perlindungan terbaik dan ketenangan fikiran kepada pelanggan ketika perjalanan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Perkhidmatan kemasukan hospital tanpa tunai di bawah insurans perjalanan tersebut tidak memberi kesan kepada premium insurans, atau sebarang manfaat dan had jumlah lain yang dinyatakan dalam polisi.
Selain penambahan perkhidmatan kemasukan hospital tanpa tunai, faedah lain insurans itu termasuk pembatalan perjalanan, kelewatan penerbangan, kehilangan atau kerosakan bagasi, kehilangan wang peribadi serta dokumen perjalanan, dan lain-lain.
AirAsia Comprehensive Travel PLUS menawarkan akses penjagaan kesihatan kepada lebih 5,000 hospital di seluruh dunia dengan kerjasama penyedia penjagaan dan mobiliti terkenal di dunia, Europ Assistance. - DagangNews.com








