Top Glove berdepan tekanan margin akibat lebihan bekalan, harga rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Top Glove berdepan tekanan margin akibat lebihan bekalan, harga rendah

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Sept - Top Glove Corporation Bhd berdepan tekanan margin tahun ini akibat lebihan bekalan dan harga jualan purata (ASP) yang rendah.

 

Pengurus Besar Pemasaran Top Glove, Lim Jin Feng berkata, walaupun keadaan lebihan bekalan itu kekal berterusan, syarikat telah melihat beberapa peningkatan sejak kebelakangan ini.

 

"Situasi itu didorong oleh sesetengah pemain industri telah mula memperlahankan atau menutup operasinya kerana kerugian yang berterusan,"ujar beliau.

 

Beliau berkata, terdapat peningkatan ketara pada tahun lepas berbanding 2022. 

 

“Walaupun kami telah menyaksikan arah aliran positif dari segi kuantiti, kami mengalami kekangan untuk menjanakan keuntungan yang berkaitan dengan ASP."

 

Lim berkata, walaupun syarikat berusaha untuk mengoptimumkan proses, terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan, terutamanya dalam operasi kilang.

 

“Kami berusaha untuk mengurangkan pembaziran, terutamanya di bahagian kilang yang boleh membantu meningkatkan margin kami.

 

“Selain itu, Malaysia kini berdepan dengan sekatan kemasukan pekerja asing yang merupakan satu lagi cabaran.

 

“Selain itu, kos sentiasa menjadi perkara utama dalam industri kami termasuk harga bahan mentah, buruh asing dan utiliti memainkan peranan penting dalam industri kami,” ulas beliau. 

 

Baru-baru ini, stok sarung tangan getah, termasuk Top Glove, meningkat selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa.

 

Dalam nota penyelidikan, UOB Kay Hian berkata, sentimen dagangan dalam sektor sarung tangan tempatan diunjur meningkat jika wabak itu semakin teruk, ia akan membawa kepada permintaan sarung tangan getah yang lebih tinggi untuk produk perubatan. 

 

Firma penyelidikan itu juga berkata, stok sarung tangan mempunyai potensi pertumbuhan walaupun tanpa mengambil kira situasi mpox.

 

Bagi suku ketiga berakhir 31 Mei 2024 (3Q2024), Top Glove mencatatkan hasil jualan sebanyak RM637 juta, peningkatan 16% suku tahunan ke suku tahunan dan 20% tahun ke tahun. 

 

Menurut makluman dari Bursa Malaysia, kerugian operasi Top Glove menurun kepada RM34 juta pada 3Q2024 daripada RM59 juta pada 2Q2024, mewakili peningkatan 42%. 

 

Jumlah jualan meneruskan aliran menaiknya, meningkat 13% berbanding 2Q2024, mencerminkan pemulihan Kumpulan.

 

Kumpulan itu menjana keuntungan bersih sebanyak RM62 juta, meningkat 255% daripada 2Q2024 dan 152% lebih tinggi daripada 2Q2023 didorong oleh pelupusan lebihan tanah.-DagangNews.com