Tony Fernandes sambung kontrak 5 tahun lagi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Capital A | DagangNews Skip to main content

Tony Fernandes sambung kontrak 5 tahun lagi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Capital A

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 April - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes menandatangani kontrak perkhidmatan baharu untuk lima tahun akan datang, bagi membolehkannnya memacu pertumbuhan kumpulan.

 

Lembaga pengarah Capital A meluluskan pakej insentif yang direka untuk menyelaraskan kepentingan CEO selain memastikan komitmen bersama untuk memacu kejayaan jangka panjang dan kemapanan kumpulan. 

 

Beliau akan terus mengemudi Capital A ke arah memacu nilai pemegang saham melalui pelaksanaan urus niaga yang menguntungkan. 

 

 

Pakej insentif dan butirannya akan dibentangkan kepada pemegang saham bagi mendapatkan kelulusan pada mesyuarat agung luar biasa yang akan datang.

 

Pengarah Capital A, Datuk Fam Lee Ee berkata, Tony berjaya mengubah kumpulan itu dalam memacu pertumbuhan selain memberikan pulangan luar biasa yang menjadikan beliau antara CEO cemerlang di dalam industri itu.

 

"Beliau telah menetapkan Capital A pada laluan strategik bagi penciptaan nilai yang berterusan dan lembaga pengarah memutuskan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatannya untuk lima tahun akan datang. 

 

"Kami yakin, di bawah bimbingan beliau, kami akan mencipta pencapaian yang lebih besar pada tahun-tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Tony mengakui sangat teruja dan bersedia untuk memberikan nilai yang luar biasa kepada para pemegang sahamnya berikutan pelupusan perniagaan penerbangannya. 

 

Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun akan datang, pelabur dan pemegang saham akan menyaksikan kebangkitan empat tonggak perniagaan yang kukuh, yang lahir daripada kumpulan AirAsia. 

 

"Sepanjang lima tahun akan datang, saya membayangkan Teleport, MOVE Digital, Capital A Aviation Services Group (CAPAS), dan Capital A International berkembang menjadi syarikat senaraian awam berasingan yang berkongsi DNA yang sama," katanya.- DagangNews.com