KUALA LUMPUR 1 April - Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memberi tumpuan kepada penguatkuasaan peraturannya dan mengenakan tindakan ke atas pihak yang menjual rokok di bawah harga sah minimum sebelum memperkenalkan undang-undang pencegahan lain terhadap merokok.
Menurut Juruperunding Utama Arunachala Research & Consultancy Sdn. Bhd, R. Paneir Selvam, KKM menaikkan harga runcit minimum rokok kepada RM12 bagi sekotak 20 batang pada November 2020 daripada RM10 sekotak di bawah Peraturan 8C (1) Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
“Rokok seludup yang dijual meluas berharga antara RM4 hingga RM8 sekotak adalah jelas bertentangan dengan peraturan harga minimum dan KKM harus menguatkuasakan tindakan undang-undang ke atas rokok seludup dan pihak yang melanggar undang-undang.
“Di bawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang sama, mana-mana individu yang didapati bersalah di bawah undang-undang itu akan didenda RM10,000 atau penjara minimum dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Paneir berkata, KKM boleh menjadi lebih proaktif dalam menguatkuasakan peraturan harga minimumnya sendiri bagi rokok daripada bergantung kepada agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja untuk menjalankan tanggungjawab penguatkuasaan terhadap rokok seludup.
“Usaha bersepadu KKM dengan kerjasama erat agensi penguatkuasaan lain amat perlu bagi menangani masalah rokok seludup yang semakin teruk ini yang menyebabkan kerajaan kerugian RM5 bilion setahun bagi cukai yang tidak dibayar dan pada masa sama memberi impak negatif kepada agenda kesihatan negara,” katanya.
Beliau berkata, KKM juga sepatutnya memastikan Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF) memberi lebih tumpuan kepada pelanggaran harga minimum untuk membantu tindakan penguatkuasaan kementerian melalui sokongan risikan dan personel.

Menurut laporan Kajian Rokok Seludup oleh Nielsen di Malaysia pada 2021, kejadian rokok seludup di peringkat kebangsaan telah menurun sehingga 6.5% daripada 63.8% pada 2020 kepada 57.3% pada 2021.
Katanya, KKM kekurangan semangat untuk menguatkuasakan peraturannya sendiri iaitu harga jualan minimum rokok yang mungkin akan mengurangkan usaha untuk memperkenalkan undang-undang melarang penjualan rokok kepada mereka yang dilahirkan selepas 2005.
“Satu set undang-undang yang komprehensif diperlukan untuk melaksanakan cadangan penamat generasi ini dan soalan akan ditanya mengenai tanggungjawab penguatkuasaan, pelanggaran kebebasan peribadi bagi memilih dan pengumpulan serta penjejakan maklumat peribadi, memandangkan pihak yang membeli rokok mungkin perlu menyatakan lebih daripada umur mereka,” katanya. - DagangNews.com








