Pengumuman Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menubuhkan Zon Ekonomi Sibu atau Sibu Economic Zone (SEZ) dengan peruntukan awal RM1.5 bilion bukan sekadar mewujudkan satu lagi zon pelaburan di negeri itu.
Sebaliknya, langkah itu memperlihatkan pendekatan baharu kerajaan Sarawak dalam merancang pembangunan ekonomi bandar, dengan Sibu dipilih sebagai model untuk menyelaras pembangunan secara lebih menyeluruh menerusi sebuah agensi khusus.
Berbeza dengan tanggapan umum bahawa zon ekonomi khas hanya menawarkan insentif pelaburan atau pelepasan cukai, SEZ yang diumumkan kerajaan Sarawak lebih menjurus kepada penubuhan sebuah badan penyelaras pembangunan ekonomi bandar.
Agensi itu dijangka berperanan merancang pembangunan ekonomi Sibu secara lebih sistematik, menarik pelaburan, menyelaras pelaksanaan projek pembangunan serta memperkukuh sektor perkhidmatan dan peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Menurut Abang Johari, kerajaan negeri pada dasarnya telah bersetuju menubuhkan agensi berkenaan memandangkan pembangunan ekonomi Sibu kini semakin kompleks dan melibatkan pelbagai sektor, berbanding hanya bergantung kepada beberapa industri tradisional.
Sebagai permulaan, beliau mengumumkan peruntukan RM1.5 bilion akan dimasukkan dalam belanjawan negeri akan datang bagi merealisasikan penubuhan SEZ.
Tumpuan kepada pembangunan ekonomi bandar
Apa yang menarik, cadangan penubuhan Sibu Economic Zone diumumkan ketika Sarawak sebenarnya telah mempunyai beberapa agensi pembangunan wilayah seperti Northern Region Development Agency (NRDA), Upper Rajang Development Agency (URDA), Rajang Delta Development Agency (RADDA), Mid-Rajang Regional Development Agency (MiRRDA), Highland Development Agency (HDA) dan Integrated Samarahan Development Agency (IRSDA).
Ini menimbulkan persoalan sama ada fungsi agensi baharu itu akan bertindih dengan agensi pembangunan sedia ada.

Namun, berdasarkan penjelasan Premier Sarawak, SEZ dilihat lebih memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi bandar, termasuk menarik pelaburan, memperkukuh sektor perkhidmatan, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi serta menyelaras pembangunan semula bandar.
Sebaliknya, agensi pembangunan wilayah yang diwujudkan sebelum ini lebih memfokuskan pembangunan infrastruktur, kemudahan asas dan projek pembangunan di kawasan luar bandar serta wilayah masing-masing.
Dalam erti kata lain, SEZ dijangka menjadi platform untuk memacu pertumbuhan ekonomi bandar, manakala agensi pembangunan wilayah terus memainkan peranan mempercepat pembangunan fizikal dan sosioekonomi di kawasan yang lebih luas.
Pendekatan itu memperlihatkan evolusi dasar pembangunan Sarawak yang kini bukan lagi hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur, tetapi turut memberi perhatian kepada pembangunan ekosistem ekonomi bandar.
Keluar daripada bayang-bayang industri perkayuan
Selama beberapa dekad, Sibu dikenali sebagai antara pusat industri perkayuan terbesar di Malaysia dan menjadi nadi ekonomi Zon Tengah Sarawak.
Namun, perubahan struktur ekonomi global, kemunculan industri baharu serta agenda pembangunan Sarawak menyebabkan kerajaan negeri mahu mengurangkan pergantungan kepada industri tradisional dan beralih kepada sektor yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
Abang Johari sendiri beberapa kali menegaskan bahawa masa depan Sibu tidak lagi boleh bergantung kepada industri perkayuan semata-mata.

Sebaliknya, beliau mahu bandar itu berkembang melalui sektor perkhidmatan, teknologi, ekonomi hijau, bandar pintar, perdagangan karbon serta aktiviti ekonomi rendah karbon yang kini menjadi antara agenda utama pembangunan negeri.
Penubuhan Sibu Economic Zone juga akan melengkapi Pelan Induk Pembangunan Semula Sibu yang dijadualkan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh antara 15 hingga 20 tahun.
Gabungan pembangunan fizikal dan strategi ekonomi itu dilihat sebagai usaha membentuk semula peranan Sibu sebagai pusat pertumbuhan utama di Zon Tengah Sarawak.
Second Trunk Road ubah landskap pelaburan
Satu lagi faktor yang menjadi asas kepada penubuhan SEZ ialah pembinaan Second Trunk Road yang dijangka siap pada 2029.
Menurut Abang Johari, projek itu akan memendekkan perjalanan darat antara Kuching dan Sibu kepada kira-kira dua jam.
Hubungan darat yang lebih baik bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah dijangka mengubah corak logistik, rantaian bekalan serta keputusan pelaburan syarikat yang mahu mengembangkan operasi di Sarawak.
Beliau berkata, kemudahan itu akan meningkatkan daya tarikan Sibu kepada sektor perkhidmatan, termasuk kewangan, insurans dan perkhidmatan profesional yang memerlukan hubungan lebih pantas dengan pusat pentadbiran negeri.
Dengan akses yang lebih baik, Sibu berpotensi memainkan peranan lebih besar sebagai pusat perkhidmatan dan perdagangan bagi Zon Tengah Sarawak.

Pekerjaan berkualiti tinggi jadi keutamaan
Cadangan menubuhkan SEZ sebenarnya bermula daripada syor Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee.
Bandar itu memerlukan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi serta aktiviti ekonomi baharu bagi menarik golongan profesional kembali bekerja di Sibu.
Tanpa peluang pekerjaan yang mencukupi, lebih ramai tenaga mahir akan terus berhijrah ke Kuching, Bintulu, Miri, Kuala Lumpur dan Singapura sehingga menyebabkan Sibu berdepan risiko menjadi sebuah "bandar warga emas".
Atas sebab itu, penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi menjadi antara matlamat utama penubuhan SEZ, selain mengukuhkan kedudukan bandar itu sebagai pusat pertumbuhan ekonomi di Zon Tengah Sarawak.
Setakat ini, kerajaan negeri belum mengumumkan struktur organisasi, bidang kuasa atau mekanisme pelaksanaan agensi berkenaan.
Namun, ukuran sebenar kejayaan SEZ bukan terletak pada nilai peruntukan RM1.5 bilion, sebaliknya sejauh mana agensi itu mampu mengubah struktur ekonomi Sibu daripada sebuah bandar yang bergantung kepada industri tradisional kepada sebuah pusat pertumbuhan baharu yang mampu menarik pelaburan.
Ini termasuk kemampuannya menyediakan pekerjaan bernilai tinggi dan membawa pulang bakat yang selama ini berhijrah ke bandar-bandar besar lain termasuk Semenanjung Malaysia.
Jika berjaya, model ini berpotensi menjadi rujukan baharu kepada pendekatan pembangunan ekonomi bandar-bandar di Sarawak.. - DagangNews.com








