KUALA LUMPUR 22 Ogos – Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dijangka mengubah landskap pertumbuhan rentas sempadan, membuka peluang dalam sektor pembuatan maju, logistik pintar, perkhidmatan kewangan dan pelancongan.
Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Perundingan Knight Frank Malaysia, Amy Wong, berkata JS-SEZ, yang empat kali ganda lebih besar daripada Singapura dan dua kali saiz Shenzhen, direka untuk menarik pelabur global melalui sembilan zon utama merangkumi 11 sektor berprestasi tinggi.
“Syarikat boleh memanfaatkan kekuatan kedua-dua belah Tambak Johor dengan menempatkan operasi di Johor sambil mengekalkan ibu pejabat dan fungsi penyelidikan di Singapura,” katanya berkongsi pandangan pada forum Bridging Growth Across Borders semalam.
Forum anjuran Knight Frank Malaysia dan Knight Frank Singapura menarik lebih 200 pemimpin kerajaan, ketua industri dan pelabur dari kedua-dua belah Tambak Johor.
Antara kawasan pertumbuhan utama JS-SEZ termasuk Kulai–Sedenak untuk kecerdasan buatan, pengkomputeran kuantum dan peranti perubatan.
Senai–Skudai pula untuk pembuatan aeroangkasa dan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan, dan operasi, manakala Iskandar Puteri untuk perkhidmatan perniagaan dan Tanjung Pelepas untuk logistik pintar.
Forest City pula disasarkan sebagai hab kewangan, manakala Desaru–Penawar akan menjadi tumpuan projek pelancongan bersepadu.
Kemajuan infrastruktur dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan JS-SEZ, terutamanya Sistem Transit Pantas Johor–Singapura (RTS) yang dijangka siap menjelang akhir 2026.
RTS dijangka mengurangkan masa perjalanan kepada hanya lima minit, membawa 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah antara Bukit Chagar dan Woodlands North, serta meredakan kesesakan di Tambak Johor yang kini menampung lebih 400,000 kenderaan sehari.
Amy Wong menegaskan, JS-SEZ bukan sahaja akan mempercepat pertumbuhan berteknologi tinggi dan lestari, tetapi turut mengukuhkan peranan Johor sebagai hab serantau utama untuk pembuatan, logistik dan perkhidmatan. - DagangNews.com








