Zetrix diramal jana hasil sampingan baharu daripada ekosistem rantaian blok dan ID digital Malaysia - UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zetrix diramal jana hasil sampingan baharu daripada ekosistem rantaian blok dan ID digital Malaysia - UOBKH

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - Zetrix AI Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai MyEG Services Bhd diramal meraih manfaat daripada aliran hasil sampingan baharu apabila ekosistem rantaian blok dan ID digital Malaysia memasuki fasa pelaksanaan di seluruh negara pada separuh kedua tahun ini, menurut UOB Kay Hian (UOBKH) Research.

 

Katanya, kumpulan itu berada pada kedudukan kukuh untuk mengambil peluang daripada pelaksanaan penuh Infrastruktur Rantaian Blok Malaysia (MBI) dan My Digital ID, yang kedua-duanya sedang dibangunkan dengan kerjasama Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (Mimos).

 

"Berdasarkan kerjasama Zetrix dengan Mimos untuk MBI, kami berpendapat, sebarang dasar nasional yang berpotensi digubal untuk menggalakkan penggunaan teknologi rantaian blok secara lebih meluas mungkin memberi manfaat kepada kumpulan,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu turut mengetengahkan potensi penggunaan seperti tokenisasi (tokenization) instrumen kewangan, termasuk jaminan dan penerimaan bank.

 

Katanya, Zetrix turut membangunkan bersama aplikasi super My Digital ID dengan Mimos, yang bertujuan menyediakan platform log masuk tunggal untuk pengesahan identiti merentasi platform kerajaan seperti MySejahtera, MyJPJ dan MyHRMIS.

 

“Zetrix akan menjana pendapatan daripada projek ini melalui yuran pendaftaran sekali sahaja dan pendapatan berulang menerusi modul langganan bagi mana-mana entiti komersial yang ingin menggunakan My Digital ID sebagai penyelesaian ID pengguna log masuk tunggal pada masa hadapan,” katanya.

 

UOBKH berkata, Zetrix melabur lebih RM1 bilion untuk membangunkan rantaian bloknya dalam tempoh tiga tahun lepas dan telah melancarkan pelbagai aplikasi, termasuk Ztrade bersama kastam China, perkhidmatan pengesahan sijil asal, kelayakan boleh sah kontrak pintar, dan tandatangan digital berasaskan rantaian blok.

 

“Lebih penting lagi, beberapa aplikasi rantaian blok kerajaan-ke-kerajaan di bawah platform Zetrix ini mengukuhkan kehadiran kumpulan dalam ruang e-kerajaan domestik, dengan kadar penggunaan yang semakin meningkat merentasi pelbagai kementerian,” katanya.

 

UOBKH mengekalkan saranan “beli” ke atas Zetrix, dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.46 sesaham.- DagangNews.com