KUALA LUMPUR 17 Jun - Yinson Production berjaya memuktamadkan pelaburan bernilai AS$1 bilion daripada satu konsortium yang terdiri daripada anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (Adia), serta dana yang diuruskan oleh British Columbia Investment Management Corporation (BCI) dan RRJ Group (RRJ).
Kumpulan itu berkata, mereka telah memeterai perjanjian pada 14 Januari 2025 dan telah memenuhi syarat-syarat penutupan, termasuk kelulusan kawal selia dan kelulusan pemegang saham Yinson Holdings Bhd.
Pelaburan itu dibuat menerusi terbitan saham keutamaan boleh ditebus boleh tukar (RCPS) dan waran bernilai AS$1 bilion oleh Yinson Production Offshore Holdings Limited, sebuah syarikat induk yang baru ditubuhkan dan berpangkalan di United Kingdom (UK).
Menerusi penutupan itu, pelabur telah membiayai tranche pertama sebanyak AS$300 juta, dengan AS$200 juta telah digunakan untuk agihan khas kepada Yinson.
Baki AS$700 juta daripada RCPS yang telah komited akan dipanggil dalam sehingga tiga ansuran menjelang Disember 2026.
Ketua Pegawai Kewangan Yinson Production, Markus Wenker berkata, pihaknya berbesar hati kerana telah berjaya memuktamadkan pelaburan penting ini daripada pelabur global terkemuka.
"Pelaburan ini bukan sahaja mencerminkan kualiti perniagaan kami dengan aliran tunai yang sangat jelas dan tunggakan hasil yang ketara, tetapi juga menegaskan keyakinan terhadap potensi pertumbuhan jangka panjang Yinson Production," katanya. - DagangNews.com








