Yinson Production, K Line bina kapal angkut karbon dioksida cecair | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson Production, K Line bina kapal angkut karbon dioksida cecair

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 18 Jun - Yinson Production dan syarikat perkapalan Jepun, K Line Energy Shipping (UK) Limited (KLES), menjalin kerjasama strategik bagi membangunkan dan memasarkan rumusan pengangkutan dan suntikan karbon dioksida (CO₂) cecair.

 

Melalui kerjasama itu, Yinson Production dan K Line akan membangunkan unit penyimpanan dan suntikan terapung (FSIU) serta kapal pengangkut CO₂ cecair untuk projek penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), terutamanya di Eropah.

 

Kaedah simpanan karbon di laut dianggap lebih selamat dan berkesan, terutamanya apabila tiada kawasan darat yang sesuai atau memerlukan saluran paip yang panjang. 

 

FSIU sesuai digunakan dalam situasi sedemikian.

 

Projek Havstjerne di Norway, yang dimiliki 40% oleh anak syarikat Yinson Production, Stella Maris CCS juga, adalah antara yang bakal menggunakan FSIU.

 

Yinson Production berpengalaman luas dalam pembinaan dan operasi kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) dan kapal penyimpanan dan pemindahan terapung (FSO) dan mula melabur dalam teknologi penangkapan karbon sejak 2021.

 

K Line pula berpengalaman mengurus kapal gas cecair, termasuk kapal CO₂ cecair pertama di dunia untuk perkhidmatan penghantaran dan penyimpanan karbon yang bermula pada 2024.

 

Kerjasama antara Yinson dan K Line sebenarnya telah bermula sejak 2018 dalam sektor FPSO. 

 

Kedua-dua syarikat memiliki bersama FPSO Anna Nery di Brazil dan John Agyekum Kufuor di Ghana.

 

Ketua Pegawai Teknikal Yinson Production, Lars Gunnar Vogt berkata, kerjasama dengan K Line mengukuhkan lagi hubungan lama antara kedua-dua syarikat serta melengkapkan kepakarannya dalam bidang marin luar pesisir.

 

"Gabungan kepakaran Yinson Production dalam FPSO dan kejuruteraan luar pesisir bersama pengalaman K Line dalam penghantaran CO₂, membolehkan kami membangunkan perkhidmatan pengangkutan dan penyimpanan karbon berskala besar. 

 

"Ini akan membantu mencapai sasaran pengurangan karbon dalam sektor CCS," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Pegawai Korporat K Line, Kei Onishi pula berkata, kerjasama itu dibuat atas pengalaman bersama dalam perniagaan FPSO dan menunjukkan komitmen kedua-dua pihak dalam menyediakan rumusan CCS yang boleh dikembangkan.

 

"Kami sedang membina keupayaan pemindahan CO₂ di laut dan kaedah penghantaran khas untuk lebih banyak lokasi simpanan karbon. 

 

"Ini akan melengkapkan kaedah penghantaran tradisional dari pelabuhan ke pelabuhan dan memberi syarikat lebih pilihan untuk mencapai sasaran bebas karbon mereka," jelasnya.

 

Kerjasama berkenaan dijangka memperkukuh kedudukan kedua-dua syarikat dalam rantaian nilai CCS dan menyumbang ke arah masa depan yang lebih lestari. - DagangNews.com