Yinson kekal prospek positif, pendapatan berulang dan aliran tunai kukuh sokong sasaran harga RM3.83 - RHB Research  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson kekal prospek positif, pendapatan berulang dan aliran tunai kukuh sokong sasaran harga RM3.83 - RHB Research 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 Jun - Prospek jangka sederhana Yinson Holdings Bhd kekal positif disokong peningkatan pendapatan pajakan berulang daripada aset kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO), sekali gus mendorong firma penyelidikan mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.83 sesaham.

 

RHB Research berkata, harga sasaran berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP) tersebut menawarkan potensi kenaikan kira-kira 95% berbanding harga semasa, selain dijangka memberikan hasil dividen sekitar 3% bagi FY27F.

 

Katanya, keuntungan bersih teras Yinson bagi suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27) meningkat 26% kepada RM121 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, walaupun hasil susut 15% kepada RM1.05 bilion.

 

Prestasi itu disifatkan sebagai selaras dengan jangkaan memandangkan pendapatan kumpulan lazimnya lebih tertumpu pada separuh kedua tahun kewangan, disokong sumbangan pajakan yang lebih tinggi, kenaikan kadar pajakan tahunan dan potensi pemerolehan kontrak baharu.

 

"Keuntungan bersih teras bagi suku pertama mewakili 14% daripada unjuran kami dan 18% daripada anggaran konsensus, sejajar dengan jangkaan.

 

"Kumpulan turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak dua sen sesaham, tidak berubah berbanding tempoh sama tahun lalu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut RHB Research, penyusutan hasil berpunca daripada ketiadaan sumbangan pendapatan daripada kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) selepas projek FPSO Agogo siap dan mula beroperasi di bawah kontrak pajakan pada 12 Ogos 2025.

 

Bagaimanapun, kesan itu sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan pendapatan pajakan berulang daripada FPSO Agogo sebanyak RM274 juta, yang turut menyumbang kepada pertumbuhan keuntungan kumpulan.

 

Perniagaan Berasaskan Operasi Aset

Firma itu berkata, peralihan Yinson daripada model perniagaan berasaskan EPC kepada operasi aset turut diterjemahkan melalui peningkatan ketara aliran tunai operasi yang kembali positif kepada RM689 juta berbanding aliran keluar RM113 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Katanya, perkembangan itu mencerminkan pengurangan aliran keluar tunai berkaitan pembinaan, selain pengukuhan aliran pendapatan berulang daripada kontrak pajakan jangka panjang.

 

Dari segi prospek, Yinson disokong buku tempahan bernilai AS$19.3 bilion yang menyediakan keterlihatan pendapatan sehingga 2050.

 

Selain sumbangan penuh FPSO Agogo sepanjang FY27, projek FSO Lac Da Vang juga dijangka memulakan pengeluaran minyak pertama pada suku keempat tahun kalendar 2026, sekali gus menyumbang kepada pendapatan menjelang penghujung FY27 dan memberi impak lebih besar mulai FY28.

 

Pada masa sama, profil kewangan kumpulan terus bertambah baik selepas pembiayaan FPSO Agogo ditukar kepada pembiayaan tanpa rekursa (non-recourse financing), di samping penjanaan aliran tunai operasi yang lebih kukuh.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan unjuran pendapatan serta harga sasaran RM3.83 sesaham, yang merangkumi premium ESG sebanyak 2% berdasarkan skor ESG Yinson 3.1 daripada 4.

 

Bagaimanapun, ia mengingatkan bahawa risiko utama kepada prospek syarikat termasuk kegagalan memperoleh kontrak baharu serta kemungkinan penamatan kontrak sedia ada. – DagangNews.com - DagangNews.com