YBS International beli kilang bernilai RM23.5 juta di Pulau Pinang bagi sokong pelan peluasan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

YBS International beli kilang bernilai RM23.5 juta di Pulau Pinang bagi sokong pelan peluasan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Ogos – YBS International Bhd, menerusi anak syarikat milik penuhnya Oriental Fastech Manufacturing Sdn Bhd (OFM), memeterai perjanjian membeli sebuah hartanah industri di Perai, Pulau Pinang pada harga RM23.5 juta secara tunai sebagai sebahagian daripada strategi peluasan kumpulan.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hartanah berkenaan yang kini disewa dan diduduki oleh OFM, terdiri daripada sebuah bangunan kilang separa berkembar dengan keluasan binaan sekitar 61,586 kaki persegi yang terletak di atas tanah pajakan seluas 8,093 meter persegi, dengan pajakan berakhir pada tahun 2032.

 

Pembelian itu akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pembiayaan bank.

 

YBS berkata, pengambilalihan tersebut mencerminkan peningkatan permintaan daripada pelanggan sedia ada, di samping menyokong peluasan operasi kumpulan secara menyeluruh.

 

“Lokasi strategik yang berhampiran dengan kemudahan sedia ada dan rangkaian rantaian bekalan dijangka mempertingkat keberkesanan logistik serta kecekapan pengurusan,” katanya.

 

Langkah ini juga bakal memperkukuh kapasiti pengeluaran kumpulan dan membolehkan YBS bersedia menghadapi keperluan pertumbuhan masa hadapan.

 

Pengambilalihan ini tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan.

 

Meskipun tidak memberikan kesan kepada pendapatan bagi FY26, nisbah hutang bersih YBS dijangka meningkat kepada 0.53 kali berbanding 0.39 kali selepas pengambilalihan.  - DagangNews.com