KUALA LUMPUR 16 April - DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, bendera adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara yang tidak boleh dipersendakan.
Seri Paduka Baginda, bertitah bendera bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni, tetapi mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.
“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.
“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” titah Seri Paduka Baginda pada hari ini (16 April).
Seri Paduka Baginda, bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
ARTIKEL BERKAITAN: Ilustrasi Jalur Gemilang: KDN keluarkan surat tunjuk sebab terhadap Sin Chew Daily
Terdahulu, tindakan Sin Chew Daily dalam terbitan akhbarnya di muka hadapan yang memaparkan bendera Jalur Gemilang tanpa bulan sabit mengundang kritikan dan kemarahan pelbagai pihak yang menganggapnya tindakan menghina bendera negara.
Sin Chew membuat permohonan maaf dalam kenyataan sambil menyifatkan ia disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab ke atas akhbar Sin Chew Daily yang menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak sempurna pada penerbitan muka depannya.
KDN dalam kenyataan hari ini berkata, turut menyatakan kementerian telah memulakan siasatan serta-merta dengan memanggil wakil Sin Chew Daily berhubung perkara itu.
Tindakan tersebut berpandukan kepada dua perundangan yang berkaitan iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301]. - DagangNews.com








