Wilmar didenda RM3.19 bilion: PPB yakin kekal untung setahun hasil sumbangan kumpulan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wilmar didenda RM3.19 bilion: PPB yakin kekal untung setahun hasil sumbangan kumpulan

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 29 Sept - PPB Group Berhad (dahulunya Perlis Plantations Bhd), pemegang saham sebanyak 18.8% dalam Wilmar International Limited, menegaskan prestasi kewangan keseluruhan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3Q 2025) dan tahun kewangan 2025 akan bergantung kepada prestasi Wilmar.

 

"Selain itu, sumbangan daripada segmen teras perniagaan kumpulan yang dijangka terus mencatatkan keuntungan," kata syarikat itu dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

PPB berkata Wilmar telah menyatakan dalam pengumumannya, Kumpulan Wilmar menjangka merekodkan kerugian bagi 3Q 2025 tetapi masih kekal mencatatkan keuntungan untuk keseluruhan tahun berakhir 31 Disember 2025.

 

Sebelum itu, Wilmar dalam pemakluman kepada Bursa Singapura mengumumkan Mahkamah Agung Indonesia telah mengenakan penalti berjumlah IDR 11.88 trilion (kira-kira AS$709 juta / RM3.19 bilion) ke atas lima anak syarikatnya, sekali gus mengetepikan keputusan pembebasan sebelum ini dalam kes berprofil tinggi berkaitan krisis kekurangan minyak masak pada 2022.

 

Lima anak syarikat tersebut — PT Multimas Nabati Asahan, PT Multi Nabati Sulawesi, PT Sinar Alam Permai, PT Wilmar Bioenergi Indonesia dan PT Wilmar Nabati Indonesia — masing-masing diperintahkan membayar denda IDR 1 bilion (AS$59,666 / RM268,497) serta pampasan bagi kerugian republik itu.

 

Perincian pampasan tersebut adalah seperti berikut:

  • IDR 1.69 trilion (AS$101 juta / RM454.5 juta) keuntungan didakwa diperoleh,

  • IDR 1.66 trilion (AS$99 juta / RM445.5 juta) kerugian kewangan kepada negara, dan

  • IDR 8.53 trilion (AS$509 juta / RM2.29 bilion) kerugian sektor perniagaan dan isi rumah.

 

Wilmar memaklumkan jumlah penuh tersebut telahpun didepositkan dengan Pejabat Peguam Negara Indonesia dan kini akan disalurkan ke Perbendaharaan Negara.

 

Syarikat itu menegaskan ia “menghormati” keputusan mahkamah, namun kesal dengan keputusan berkenaan, sambil menegaskan segala tindakan semasa krisis minyak masak dijalankan mengikut peraturan sedia ada dan dengan niat baik.

 

Wilmar turut menyatakan berkemungkinan memohon semakan kehakiman terhadap keputusan itu.

 

Kes ini, yang turut membabitkan syarikat minyak sawit utama lain termasuk Permata Hijau Group dan Musim Mas Group, berpunca daripada tindakan keras kerajaan terhadap dakwaan pengautan untung serta sekatan eksport ketika harga minyak masak melonjak dalam pasaran domestik pada 2022.

 

Sebagai satu daripada kumpulan agribisnes terbesar Asia, saham Wilmar dijangka berdepan tekanan susulan keputusan mahkamah Indonesia itu. - DagangNews.com