Willowglen MSC raih kontrak RM86.5 juta dari Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat ​​​​​​​Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Willowglen MSC raih kontrak RM86.5 juta dari Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat ​​​​​​​Singapura

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Willowglen MSC Berhad, penyedia sistem automasi industri, telemetri dan kawalan penyeliaan, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Willowglen Services Pte Ltd memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM86.5 juta daripada Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura.

 

Kontrak yang dianugerahkan pada 18 Ogos 2025 itu merangkumi kerja-kerja penggantian sistem trafik dan komunikasi bagi rangkaian lebuh raya di Singapura. Projek berkenaan bermula serta-merta dan dijangka siap pada 2 Julai 2029.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat tersebut berkata kontrak jangka panjang ini dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan kumpulan dan mengukuhkan aset bersih sesaham bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2025 hingga 2029.

 

Kontrak ini tidak boleh diperbaharui dan hanya melibatkan risiko perniagaan biasa.

 

Willowglen turut menyatakan, tiada pengarah, pemegang saham utama mahupun pihak berkaitan yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut. Persetujuan LTA untuk membuat pengumuman ini telah diperoleh pada 27 Ogos 2025.

 

Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Willowglen sebagai pemain dipercayai dalam teknologi infrastruktur pengangkutan, khususnya di Singapura yang merupakan salah satu pasaran utama syarikat.

 

Dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap sistem pengurusan trafik moden di rantau ini, kontrak tersebut dilihat sebagai suntikan strategik kepada unjuran projek kumpulan. - DagangNews.com