Wi-Fi IPTA tingkatkan pengalaman pembelajaran di Politeknik Seberang Perai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wi-Fi IPTA tingkatkan pengalaman pembelajaran di Politeknik Seberang Perai

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PERMATANG PAUH 15 Sept - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini meninjau pelaksanaan projek Wi-Fi Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Politeknik Seberang Perai yang telah siap dan mula beroperasi sejak 14 Julai lalu.

 

Projek ini dilaksanakan di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bertujuan memperkukuh capaian Internet berkelajuan tinggi di kampus IPTA seluruh negara.

 

Kemudahan rangkaian yang lebih stabil dan menyeluruh itu dijangka memberi manfaat besar kepada pelajar serta warga kampus, seiring usaha Kerajaan MADANI untuk memperluas ketercapaian digital kepada semua lapisan masyarakat.

 

Pengurusan Politeknik Seberang Perai menyambut baik inisiatif tersebut dengan maklum balas positif terhadap keberkesanan capaian yang membantu meningkatkan pengalaman pembelajaran digital, operasi pentadbiran serta aktiviti penyelidikan.

 

Fahmi

 

MCMC dalam kenyataan berkata pihaknya akan terus memantau pelaksanaan projek berkenaan bagi memastikan kualiti perkhidmatan menepati keperluan semasa dan memberi impak maksimum kepada warga IPTA.

 

Selain itu, Fahmi turut meluangkan masa beramah mesra bersama 70 pelajar politeknik yang menyertai Kempen Internet Selamat (KIS), termasuk peserta yang hadir secara dalam talian.

 

Modul kempen itu memberi tumpuan kepada isu keselamatan siber melibatkan penipuan dalam talian, buli siber, risiko perkongsian maklumat peribadi secara berlebihan, serta penyebaran maklumat palsu.

 

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Dato’ Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali. - DagangNews.com