KUALA LUMPUR 9 Julai – Westports Holdings Berhad diunjur mencatat keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sehingga RM320 juta pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26).
Menurut RHB Research, penilaian itu dipacu kenaikan caj pengendalian kontena dan pertumbuhan jumlah kontena, mengatasi cabaran peningkatan kos bahan api akibat ketidaktentuan geopolitik sebelum ini.
Firma penyelidikan itu berkata, unjuran itu mewakili pertumbuhan 40% berbanding tempoh sama tahun lalu dan meletakkan syarikat di landasan mencapai sasaran keuntungan tahunan sebanyak RM1.3 bilion.
"Justeru, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Westports dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM7.49 sesaham daripada RM6.55, menawarkan potensi peningkatan 24%," katanya dalam analisis.
Tambah RHB Research, kumpulan itu dijangka mengumumkan keputusan kewangan 2QFY26 berakhir 30 Jun 2026 pada 24 Julai 2026, dengan prestasi disokong oleh pelaksanaan kadar tarif yang lebih tinggi.
Walaupun gencatan senjata di Timur Tengah berpotensi menaikkan semula tekanan harga minyak mentah, kesan dijangka terkawal kerana unjuran hasil syarikat mengambil kira peningkatan 30% kos bahan api.

Katanya, kenaikan tarif dilaksanakan Westports mengimbangi isu caj bahan api, manakala penggunaan dijangka berkurangan 10% menjelang suku keempat 2026 susulan 60 buah trak elektrik mula digunakan.
"Selain itu, ia meraih manfaat kerana tidak tertakluk mekanisme 'Automatic Fuel Adjustment' (AFA), dan mengurangkan risiko kos elektrik jika berlaku balik lonjakan harga tenaga," kata RHB Research.
Pada masa sama, prospek eksport Malaysia dijangka terus menyokong pertumbuhan pengendalian kontena, dengan diunjur berkembang 15.3% pada 2026 dipacu kekuatan sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Firma itu berkata, walaupun caj perkhidmatan nilai tambah (VAS) Westports dijangka kembali normal, jumlah kontena akan lebih daripada mampu mengimbangi penyederhanaan hasil daripada segmen tersebut.
RHB Research sehubungan itu mengekalkan unjuran pertumbuhan pengendalian kontena di Pelabuhan Klang sebanyak 4.5% bagi FY26, sejajar panduan syarikat yang menyasarkan perkembangan rendah.
"Kami meningkatkan unjuran hasil Westports bagi FY26 hingga FY28 masing-masing 6%, 4% dan 4%, namun mengingatkan risiko utama iaitu kos operasi yang naik melebihi unjuran," katanya. - DagangNews.com








