KUALA LUMPUR 2 Mac – Velesto Energy Berhad (Velesto) mengumumkan penganugerahan kontrak penggerudian selama lima tahun yang dianggarkan berjumlah RM616 juta atau AS$157 juta daripada PETRONAS Carigali Sdn. Bhd.
Di bawah kontrak tersebut, pelantar jack-up NAGA 2 milik Velesto akan melaksanakan aktiviti penggerudian yang telah bermula pada Februari 2026 bagi tempoh tetap lima tahun.
Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada kadar penggunaan pelantar serta meningkatkan keterlihatan pendapatan Kumpulan bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim berkata, penganugerahan itu merupakan pencapaian penting bagi Kumpulan serta permulaan yang kukuh bagi tahun 2026.
“Kontrak lima tahun untuk NAGA 2 mencerminkan kemajuan berterusan kami dalam memaksimumkan penggunaan aset teras di samping mengukuhkan keterlihatan pendapatan.
"Kami menghargai kepercayaan yang diberikan kepada Velesto dan komited untuk memastikan operasi yang selamat serta prestasi konsisten sepanjang tempoh kontrak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kontrak berkenaan selaras dengan fokus strategik Kumpulan terhadap pelaksanaan berdisiplin di pasaran operasi utama di Asia Tenggara dan Malaysia.
NAGA 2 merupakan pelantar penggerudian jack-up jenis independent-leg cantilever dengan keupayaan kedalaman penggerudian sehingga 30,000 kaki serta kemampuan operasi di kedalaman air sehingga 350 kaki. - DagangNews.com








