UUE catat peningkatan pendapatan kepada RM41.9 juta pada 4QFY24 dipacu permintaan tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UUE catat peningkatan pendapatan kepada RM41.9 juta pada 4QFY24 dipacu permintaan tinggi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 April — UUE Holdings Berhad mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 20.4 peratus tahun ke tahun (yoy) kepada RM41.9 juta bagi suku keempat untuk tahun kewangan yang berakhir pada 28 Februari 2025.


Penyedia rumusan kejuruteraan utiliti bawah tanah itu berkata, ia didorong permintaan lebih tinggi ke atas perkhidmatan penggerudian arah mendatar bagi pemasangan paip, dan  keperluan projek penghantaran elektrik.


Keuntungan yang lebih tinggi katanya, sebahagian besar disokong oleh aktiviti penghantaran projek yang tepat pada masanya dan keupayaan pengeluaran dipertingkatkan, serta Langkah mengoptimumkan kos berkaitan masa.


Pengarah Urusan UUE, Datuk Dr Ting Kok Hwa berkata, selain itu, usaha aik taraf kemudahan pembuatan paip telah meningkatkan kapasiti pengeluaran, menghasilkan jualan yang lebih tinggi dan menyumbang kepada prestasi keseluruhan.



"Situasi ini membolehkan bahagian paip perkilangan mencatatkan peningkatan hasil 73.0 peratus berbanding tahun sebelumnya selain 19.2 peratus dalam pendapatan segmen rumusan kejuruteraan utiliti bawah tanah," katanya dalam kenyataan. 


Kumpulan tersebut kata beliau, akan terus memberikan prestasi kewangan yang berdaya tahan seperti ditunjukkan pada suku keempat, dan kekal fokus untuk melaksanakan buku pesanan sedia ada sambil menambahnya dengan lebih banyak projek.


Di samping itu, Kok Hwa berkata, UUE sudah mula menuai hasil daripada pelaburan setelah berjaya melengkapkan proses menaik taraf kemudahan pembuatan paip seperti yang terbukti melalui jualan yang lebih tinggi. 


"Selain itu, kemenangan kontrak bernilai RM28.1 juta baru-baru ini di Singapura mengukuhkan lagi rekod prestasi perniagaan kami dan mungkin membuka pintu kepada peluang serantau tambahan pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com