KUALA LUMPUR 11 Julai – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) melaksanakan program di bawah Skim Geran Pemindahan Ilmu Jaringan Industri dan Masyarakat (KTGS-JINM) dengan fokus kepada pekebun nanas di Marudi, utara Sarawak.
UPMS dalam kenyataannya berkata, Menerusi KTGS-JINM, universiti telah melaksanakan program libat urus bersama komuniti pekebun nanas tempatan bagi memperkukuh daya saing mereka dalam sektor pertanian.
Inisiatif pemindahan ilmu terus memberi impak positif kepada ekonomi luar bandar, khususnya dalam kalangan pekebun kecil nanas di Marudi.
Program anjuran UPMS ini memberi fokus kepada aspek perancangan kewangan ladang, strategi pengurusan perniagaan tani, serta kaedah pemasaran hasil pertanian.
Program itu diketuai oleh Dr. Shairil Izwan Taasim, bertujuan meningkatkan kecekapan pekebun dalam merancang, mengurus serta memasarkan hasil tanaman secara lebih sistematik.
Menurut Dr. Shairil, program ini selari dengan aspirasi universiti dalam memindahkan kepakaran akademik kepada masyarakat luar bandar, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup pekebun kecil.
"Ilmu yang dikongsi tidak terhad kepada aspek pertanian sahaja, malah merangkumi pengurusan, pemasaran, serta potensi pembangunan kawasan," katanya.




Program ini turut membuka peluang kepada komuniti untuk meneroka potensi kawasan sebagai destinasi pelancongan agro berasaskan tanaman nanas, memanfaatkan keluasan ladang serta keunikan tanaman tempatan.
Turut terlibat dalam program ini ialah Dr. Steward Giman anak Stephen dan Ainul Fikri Mohamad Pauzi yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaan aktiviti lapangan serta sesi perkongsian ilmu.
Kehadiran UPMS di Marudi membuktikan peranan universiti sebagai pemangkin perubahan ekonomi luar bandar menerusi pemindahan ilmu secara berfokus, sekali gus memperkukuh ekonomi komuniti pekebun nanas tempatan. - DagangNews.com








