KUALA LUMPUR 26 Ogos - Pengeluar kabel dan wayar, Southern Cable Group Berhad mencatatkan lonjakan keuntungan bersih lebih dua kali ganda sebanyak 119.3% kepada RM31.6 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) berbanding RM14.4 juta pada suku sama tahun lalu, didorong permintaan kukuh dari pasaran domestik dan luar negara.
Pendapatan kumpulan meningkat 33% kepada RM419.3 juta berbanding RM315.3 juta sebelum ini, hasil jualan kabel dan wayar yang lebih tinggi.
Peningkatan ini disokong oleh kenaikan pendapatan domestik sebanyak 23.1% kepada RM372.2 juta, dipacu permintaan kukuh dalam sektor utiliti tenaga dan pembinaan.
Pendapatan luar negara turut melonjak 261.8% kepada RM47.1 juta, sebahagian besarnya daripada pasaran Amerika Syarikat (AS).
Kumpulan kini mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 51,980 km kabel, iaitu peningkatan 14% berbanding tahun lalu.
Pengarah Urusan Southern Cable, Tung Eng Hai berkata, prestasi kukuh separuh pertama 2025 didorong oleh permintaan mantap kabel dan wayar di pasaran domestik dan eksport.
"Di Malaysia, kami memanfaatkan permintaan tinggi kabel kuasa voltan tinggi, terutamanya daripada pembangunan tenaga boleh diperbaharui, rangkaian rel dan pusat data.
"Pada masa sama, perubahan geopolitik global telah meningkatkan permintaan produk kami di pasaran AS. Dengan pendapatan luar negara melonjak empat kali ganda pada suku terkini.
"Kami berada di landasan untuk melepasi sasaran pendapatan luar negara RM100 juta tahun ini," katanya dalam kenyataan.
Eng Hai berkata, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, syarikat sedang melabur dalam fasiliti pengeluaran baharu untuk merebut peluang lebih besar pada masa depan.
Katanya, projek pengembangan Southern Cable bersebelahan kemudahan Kuala Ketil, Kedah dijangka siap pada 2026.
"Projek bernilai hampir RM40 juta itu merangkumi fasiliti baharu di tapak seluas 7.9 ekar, lengkap dengan relau aluminium berkapasiti tinggi yang mampu menghasilkan tiga kali ganda pengeluaran rod aluminium kepada lebih 60,000 MT setahun, serta talian pengeluaran kabel kuasa voltan sederhana hingga ekstra tinggi (33kV hingga 275kV)," katanya.
Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2025 (1H25), keuntungan bersih kumpulan melonjak dua kali ganda kepada RM59 juta berbanding RM28.5 juta setahun lalu.
Pendapatan pula meningkat 29.1% kepada RM810.1 juta berbanding RM627.4 juta sebelum ini.
Pendapatan domestik naik 20% kepada RM731.9 juta, manakala pendapatan luar negara melonjak 353.6% kepada RM78.2 juta, sebahagian besarnya daripada jualan ke pasaran AS.
Setakat 30 Jun 2025, Southern Cable mempunyai baki pesanan bernilai RM1.17 bilion yang mampu menjamin pendapatan sehingga 2026.
Pesanan ini termasuk pembekalan kabel bawah tanah dan konduktor kepada syarikat utiliti tenaga, sistem penyearah dan bateri kepada syarikat telekomunikasi, serta pesanan daripada kontraktor EPCC, pengedar semula dan pelanggan lain.
Kumpulan turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 1.20 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Tarikh kelayakan dividen ditetapkan pada 30 September 2025 dengan pembayaran pada 15 Oktober 2025, melibatkan jumlah agihan RM11.8 juta atau 20% daripada keuntungan bersih 1H25. - DagangNews.com








