Untung bersih Tune Protect pada 2QFY25 naik kepada RM9.6 juta dipacu segmen pelancongan, penambahbaikan tuntutan motor dan kebakaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Tune Protect pada 2QFY25 naik kepada RM9.6 juta dipacu segmen pelancongan, penambahbaikan tuntutan motor dan kebakaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Tune Protect Group Berhad mencatatkan untung bersih lebih 100% kepada RM9.6 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) dipacu segmen pelancongan yang kukuh serta penambahbaikan dalam tuntutan motor dan kebakaran.

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, How Kim Lian berkata, walaupun hasil insurans menyusut pada 2Q25 kepada RM86.5 juta tetapi ia diimbangi oleh pertumbuhan tahunan dalam premium bertulis kasar bagi segmen pelancongan sebanyak 37.5% serta nisbah gabungan yang lebih baik pada 94.0% (2QFY25) dan 93.4% (1HFY25).

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Katanya, terdapat beberapa faktor penting lain yang menyumbang kepada prestasi kukuh kumpulan pada 2QFY25 seperti tuntutan bersih yang ditanggung yang lebih rendah hasil daripada tuntutan yang lebih baik dalam segmen motor dan kebakaran, serta pertumbuhan dalam segmen pelancongan yang meningkatkan sumbangannya dalam campuran portfolio keseluruhan. 

 

Penambahbaikan dalam hasil pelaburan, jumlah pendapatan dan perbelanjaan lain yang lebih rendah serta pulangan positif daripada bahagian keuntungan kumpulan dalam syarikat bersekutu di Thailand turut menyumbang kepada keputusan yang kukuh bagi 2QFY25.

 

 

howkimlian
                                   Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, How Kim Lian

 


"Nisbah tuntutan bersih yang ditanggung kumpulan daripada segmen motor terus menunjukkan peningkatan pada suku tersebut, dengan penurunan nisbah kerugian sebanyak 7%. 

 

"Segmen motor kami juga stabil dengan campuran portfolio yang lebih optimum dengan nisbah kerugian yang lebih baik, dan kami sedang merancang untuk mengembangkan segmen-segmen pilihan dalam motor pada 2HFY25,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kim Lian berkata, jumlah pendapatan pelaburan bagi 1HFY25 meningkat sebanyak 18.9% kepada RM19.5 juta. Kumpulan mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM715.6 juta setakat 30 Jun 2025 yang merangkumi dana unit amanah (91%) dan deposit (9%) pada 2Q25. Dana unit amanah tersebut terdiri daripada dana pendapatan tetap (93%) dan dana pasaran wang (7%).

 

“Kumpulan telah melaksanakan Peruntukan Aset Taktikal (TAA) dengan mengalihkan pelaburan unit amanah daripada dana aset berisiko rendah kepada dana bon korporat untuk mengambil peluang daripada perbezaan pulangan kredit yang semakin melebar berbanding bon kerajaan. 

 

"TAA baharu ini dijangka dapat meningkatkan hasil keseluruhan pendapatan pelaburan Kumpulan, mengambil kira jangkaan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR),” katanya.

 

Katanya, bersama rakan penerbangan utama kami, AirAsia, pihaknya telah melancarkan pakej nilai dengan Pas Lounge Kelewatan ke kebanyakan pasaran di Asia untuk mempelbagaikan sumber pendapatan di luar insurans.

 

"Kami juga telah melancarkan Insurans Perjalanan Sejagat di 16 pasaran di Asia, dan mendaftar 12 ejen pelancongan utama AirAsia, yang menyumbang kira-kira 20% daripada portfolio mereka. 

 

"Selain itu, kami telah menyempurnakan inisiatif penyemakan harga atau pengoptimuman premium bagi pasaran Australia dan Jepun untuk pelan inbound,” katanya.


 

Tune Protect

 


Sementara itu, Kim Lian juga optimis terhadap prospek kumpulan pada 2HFY25 berdasarkan beberapa pemacu utama pertumbuhan hasil yang merangkumi segmen pelancongan, motor, pekerja asing dan pendapatan bukan insurans.

 

“Terdapat potensi peningkatan dalam pertumbuhan penumpang sekiranya pelan penyelesaian PN17 AirAsia berjalan seperti yang dirancang dan ini akan memberikan kelebihan kepada kami. 

 

 

 

"Selain itu, kami merancang untuk pengembangan saluran luar talian ke Thailand serta melancarkan Delay Lounge Pass di semua pasaran AirAsia, dan juga jaminan perkhidmatan tepat waktu (On-Time Service Guarantee).

 

"Kumpulan akan terus fokus kepada usaha mengukuhkan keuntungan bersih dengan melaksanakan peralihan strategik ke arah segmen yang menguntungkan dan campuran portfolio yang digemari, selain inisiatif kecekapan kos yang berterusan disokong oleh pengurusan perbelanjaan yang berdisiplin," katanya.- DagangNews.com