KUALA LUMPUR 21 Julai – Solarvest Holdings Berhad mencatatkan lonjakan 53.8% keuntungan bersih kepada RM79.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, berbanding pada tahun sebelumnya.
Menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, peningkatan prestasi yang membanggakan ini didorong terutamanya oleh permulaan pelaksanaan projek solar berskala besar (LSS) fasa kelima.
Selain itu ujarnya, kemajuan berterusan diraih menerusi projek Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) dan sumbangan kukuh daripada pembangunan solar bumbung bagi segmen komersial dan industri (C&I).
"Solarvest turut melaporkan pendapatan yang paling tinggi dalam sejarah mencecah sebanyak RM758.9 juta, iaitu peningkatan kira-kira 41.4% daripada RM536.8 juta pada FY25," jelas kumpulan berkenaan lagi.
Segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama dengan sumbangan sebanyak RM675.4 juta atau 89% daripada jumlah hasil keseluruhan syarikat.

Sementara itu tambahnya, margin keuntungan bersih turut meningkat kepada 10.5% berbanding 9.7% pada tahun sebelumnya, dengan buku tempahan belum dibilkan setakat 31 Mac 2026 sebanyak RM2.47 bilion.
Jumlah berkenaan ujar Solarvest, juga merupakan paras tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah syarikat tersebut, yang disokong oleh aktiviti peralihan pantas negara ini ke arah sasaran tenaga bersih.
Dalam pada itu, Pengarah Urusannya, Lim Chin Siu, menyatakan bahawa tahun kewangan 2026 menandakan tahun yang keempat berturut-turut syarikat berkenaan berkeupayaan mencapai rekod prestasi terbaik.
"Kumpulan ketika ini sudah memiliki portfolio aset tenaga bersih yang melebihi 500 MWp, dengan merangkumi pelbagai aset sedia ada dan sedang dalam pembinaan di seluruh negara," jelas beliau.
Melangkah ke hadapan, Solarvest berada di kedudukan strategik terus berkembang menerusi peluang dalam inisiatif nasional seperti LSS6 yang dijangka dilancarkan akhir tahun ini. - DagangNews.com








