Untung bersih Poh Kong FY25 naik 3.7% kepada RM121.2 juta didorong permintaan kukuh emas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Poh Kong FY25 naik 3.7% kepada RM121.2 juta didorong permintaan kukuh emas

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 27 Sept - Poh Kong Holdings Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025 (FY25), disokong oleh permintaan kukuh terhadap emas meskipun berdepan kos operasi yang lebih tinggi.

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Julai 2025 (4Q25), hasil Poh Kong meningkat 6.7% kepada RM365.5 juta berbanding RM342.47 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Untung bersih bagi suku tersebut naik hampir 3% kepada RM22.68 juta daripada RM22.03 juta pada 4Q24, bersamaan dengan keuntungan sesaham enam sen berbanding lima sen sebelum ini.

 

Peruncit kedai emas itu menyatakan pertumbuhan hasil didorong terutamanya oleh lonjakan harga emas sepanjang suku tersebut, yang turut meningkatkan keuntungan operasi.

 

Bagi keseluruhan tahun, hasil Poh Kong meningkat 2.8% kepada RM1.69 bilion berbanding RM1.64 bilion dalam FY24, manakala untung bersih naik 3.7% kepada RM121.23 juta daripada RM116.92 juta dalam FY24.

 

Perniagaan Poh Kong merangkumi pembuatan barang kemas, dagangan perhiasan, batu permata dan jongkong emas, serta pegangan pelaburan, namun sebahagian besar hasilnya datang daripada segmen runcit.

 

Poh Kong turut mengisytiharkan dividen akhir tunggal bertingkat tiga sen sesaham biasa bagi FY25 berjumlah RM12.31 juta, selaras dengan agihan dalam FY24.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar dan peruncit barang kemas itu berkata, “ketika gangguan ekonomi berpunca daripada tarif, permintaan emas lazimnya meningkat apabila pelabur mencari perlindungan daripada inflasi dan ketidaktentuan pasaran, selain peranan logam itu sebagai aset pelabuhan selamat.”

 

Ia menambah, ketegangan perdagangan global telah menjejaskan corak pengeluaran dan perdagangan di seluruh dunia, manakala peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) telah menambah kepada kos operasi.

 

Sebagai makluman, pembelian emas dikecualikan daripada peluasan SST, namun peluasan itu masih boleh meningkatkan kos bagi peruncit barang kemas melalui input dan perkhidmatan yang dikenakan cukai.

 

“Kumpulan akan sentiasa memantau kesan ketidaktentuan semasa terhadap operasi kami, mengekalkan dan menunaikan kewajipan kewangan, serta menilai prestasi kami secara berterusan,” jelasnya. - DagangNews.com