KUALA LUMPUR 22 Mei - Malaysia Smelting Corporation Berhad (MSC) mencatat lonjakan keuntungan bersih lebih lima kali ganda kepada RM42.9 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY26) berbanding RM7.7 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Prestasi kukuh itu disokong peningkatan harga purata timah global selain sumbangan lebih tinggi daripada segmen perlombongan dan peleburan timah.
Kumpulan turut merekodkan peningkatan hasil sebanyak 24% tahun ke tahun kepada RM457 juta berbanding RM369.8 juta dalam 1QFY25.
Menurut MSC, prestasi hasil lebih baik itu didorong purata harga timah yang meningkat kepada RM193,100 satu tan metrik (MT) berbanding RM142,000 satu MT sebelumnya selain pertambahan jualan produk perantaraan mengandungi timah.
Dalam pada itu, segmen peleburan timah mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM15.5 juta berbanding RM5.7 juta sebelumnya, dipacu margin dan harga timah yang lebih tinggi.
Segmen tersebut turut mendapat manfaat daripada penjimatan kos operasi susulan penutupan dan penyahtauliahan loji peleburan Butterworth.
Sementara itu, segmen perlombongan timah merekodkan peningkatan PBT kepada RM55.2 juta berbanding RM29.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu, disokong peningkatan pengeluaran timah dan harga pasaran yang menggalakkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama MSC, Nicolas Chen Seong Lee berkata, permintaan terhadap timah kekal disokong pertumbuhan struktur global khususnya dalam sektor kecerdasan buatan (AI), pusat data, tenaga bersih dan elektronik semikonduktor.
“Walaupun pasaran global masih berdepan ketidaktentuan geopolitik dan perubahan dinamik perdagangan, gangguan bekalan serta perkembangan kawal selia dalam rantaian bekalan timah global terus menyokong asas pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi, pengurusan kos secara berhemah dan disiplin dalam peruntukan modal bagi mengukuhkan daya tahan kewangan dan daya saing syarikat.
Penutupan Loji Butterworth
Seorang lagi Ketua Pegawai Eksekutif Bersama MSC, Lam Hoi Khong berkata, penutupan loji Butterworth berjaya membantu kumpulan mengurangkan kos operasi keseluruhan.
Menurut beliau, loji Isasmelt di Pulau Indah kini menyediakan platform pengeluaran yang lebih cekap serta rendah karbon.
Berdasarkan prestasi suku ke suku, hasil kumpulan susut sedikit kepada RM457 juta berbanding RM480.7 juta pada suku sebelumnya berikutan jumlah jualan timah bertapis yang lebih rendah.
Namun begitu, keuntungan bersih meningkat 8% kepada RM42.9 juta daripada RM39.9 juta pada suku sebelumnya, disokong harga purata timah yang lebih tinggi.
Bagi menghargai pemegang saham, lembaga pengarah MSC mengumumkan dividen khas satu peringkat sebanyak empat sen sesaham membabitkan pembayaran dividen berjumlah RM33.6 juta. - DagangNews.com








