Untung bersih 7-Eleven susut 2.63% kepada RM19.96 juta Q2FY25  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih 7-Eleven susut 2.63% kepada RM19.96 juta Q2FY25 

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 22 Ogos – 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 2.63 peratus kepada RM19.96 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2Q25), berbanding RM20.5 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu, disebabkan oleh peningkatan kos operasi.

 

Bagaimanapun, hasil syarikat meningkat sebanyak 7.16 peratus kepada RM805.59 juta daripada RM751.8 juta, didorong oleh pembukaan cawangan baharu dan perbelanjaan musim perayaan Hari Raya. Jumlah ini merupakan hasil suku tahunan tertinggi bagi kumpulan sejak mencatat RM1.07 bilion pada suku kedua 2023.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, 7-Eleven berkata perbelanjaan operasi meningkat sebanyak 10.6 peratus sepanjang suku tersebut, selaras dengan waktu operasi yang dipanjangkan serta penambahan 58 cawangan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 2,651 cawangan di seluruh negara.

 

Bagi tempoh separuh pertama tahun 2025, keuntungan bersih susut 8.25 peratus kepada RM30.59 juta daripada RM33.33 juta, walaupun hasil meningkat sebanyak 8.69 peratus kepada RM1.56 bilion berbanding RM1.44 bilion sebelum ini.

 

Penurunan keuntungan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan kos daripada pengembangan CAFé by 7-Eleven, yang kini mempunyai lebih daripada 700 cawangan.

 

Cabaran kekal meskipun prospek kekal positif

 

Mengenai prospek, 7-Eleven berkata kumpulan berdepan beberapa cabaran termasuk kadar tarif elektrik asas yang lebih tinggi di Semenanjung Malaysia bermula Julai 2025 hingga Disember 2027.

 

Kos jualan dan pengedaran turut meningkat sebanyak 14.1 peratus kepada RM228.3 juta daripada RM200.06 juta.

 

Menurut syarikat itu lagi, pelaksanaan cukai perkhidmatan yang diperluas ke sektor tambahan seperti penyewaan hartanah, pembinaan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan perkhidmatan kecantikan dijangka menambah tekanan inflasi dan memberi kesan kepada pendapatan boleh guna isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

 

"Faktor luaran seperti pelaksanaan tarif balas oleh Amerika Syarikat serta konflik geopolitik yang berterusan turut meningkatkan risiko dan ketidaktentuan pasaran," katanya.

 

"Namun begitu, kumpulan kekal fokus terhadap inisiatif strategik selaras dengan trend pasaran semasa.

 

"Dengan jangkaan peningkatan dalam perbelanjaan pengguna secara keseluruhan, kumpulan optimis untuk mencatatkan prestasi yang lebih kukuh menjelang akhir tahun 2025," jelasnya lagi.- DagangNews.com