KUALA LUMPUR 3 Nov – Unisem (M) Bhd semakin hampir mencapai titik perubahan dalam prestasi keuntungannya apabila mencatatkan keputusan kewangan suku ketiga tahun kewangan 2025 (3Q25) yang kukuh, disokong oleh hasil tertinggi dalam sejarah syarikat dan kemajuan pantas dalam usaha penyatuan operasi di Malaysia.
Firma CGS International (CGSI) berkata, syarikat semikonduktor itu merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM19.6 juta, melonjak 34% tahun ke tahun (yoy) dan 558% suku ke suku (qoq).
Hasil suku tahunan pula meningkat ke paras tertinggi sebanyak RM492.7 juta, naik 20% yoy dan 4% qoq, dipacu oleh volum pengeluaran kukuh di Unisem Chengdu (UC) serta peningkatan kadar penggunaan di Unisem Malaysia (UM) yang kini sedang melalui proses konsolidasi dari Simpang Pulai ke Gopeng.
Secara keseluruhan, Unisem mencatatkan keuntungan bersih teras 9M25 sebanyak RM26.9 juta (-35% yoy), bersamaan 54% daripada unjuran dalaman dan 48% daripada konsensus Bloomberg. Syarikat turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 2 sen bagi suku berkenaan.
CGSI menyifatkan kemajuan penyatuan operasi di UM sebagai tanda positif apabila kadar penggunaan kini menghampiri 50%, walaupun masih di bawah paras pulang modal.
Sehubungan itu firma penyelidikan tersebut menjangka titik perubahan sebenar (earnings inflection point) bagi Unisem Malaysia akan berlaku lebih awal daripada unjuran asal, iaitu seawal suku pertama 2026 (1Q26F) berbanding jangkaan terdahulu pada penghujung separuh pertama 2026.
“Kemajuan pantas dalam penyatuan operasi serta perpindahan pelanggan utama memberikan asas kukuh kepada pemulihan keuntungan lebih awal.
"Kami melihat fasa konsolidasi hampir selesai, yang akan membolehkan Unisem menikmati leveraj operasi lebih tinggi pada separuh pertama 2026,” jelas laporan penyelidikan itu.
Susulan perkembangan positif ini, CGSI menaikkan harga sasaran (TP) Unisem kepada RM2.18, bersandarkan 29.5 kali P/E FY26F, iaitu 0.5 sisihan piawai di atas purata lima tahun.
Namun, penarafan ‘Reduce’ dikekalkan berikutan penilaian saham yang kekal tinggi, dengan Unisem kini diniagakan pada 47.8 kali P/E FY26F, hampir tiga sisihan piawai di atas purata sejarah, selepas harga saham melonjak 53% sejak Julai 2025.
Firma MBSB Research pula menyatakan berdasarkan prestasi keputusan kumpulan dan pandangan selepas sesi taklimat, taraf unjuran pendapatan FY25 hingga FY27 dinaikkan sebanyak antara +19.3% hingga +38.5%.
Berikutan pelarasan pendapatan ini, harga sasaran disemak naik kepada RM2.66 daripada RM1.54 sebelum ini.
"Kami juga menaikkan penilaian PER sasaran kepada 35.5x daripada 28.5x, iaitu +1 sisihan piawai di atas purata lima tahun sebanyak 27.5x. Semakan ini mencerminkan pandangan kami bahawa asas fundamental telah bertambah baik dan mungkin menandakan permulaan kitaran kenaikan industri," kata firma itu.
Bagaimanapun MBSB turut memberikan amaan, dalam 3QFY25, kedudukan hutang bersih kumpulan meningkat kepada RM165.2 juta daripada RM37.1 juta pada suku sebelumnya.
Katanya, jumlah pinjaman meningkat kepada RM353.7 juta (+35.8% tahun ke tahun) manakala baki tunai dan bank menurun -15.6% tahun ke tahun kepada RM188.5 juta.
"Perlu diingat bahawa perbelanjaan modal (capex) suku tahunan kumpulan telah meningkat kepada lebih RM100 juta sejak permulaan FY25." katanya. - DagangNews.com








