KUALA LUMPUR 21 Julai - Empat anak syarikat United Malayan Land Bhd. (UMLand) memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar perintah penyitaan 192 lot tanah di Johor Bahru yang dikaitkan dengan pertikaian melibatkan syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary berhubung pelaksanaan proses pemisahan pemilikan pada 2021.
Permohonan itu difailkan pada 10 Julai 2026 oleh Tetuan Law Chambers of Zander Lim bagi pihak Tentu Teguh Sdn. Bhd., Viridea Lakeside Sdn. Bhd., Exquisite Mode Sdn. Bhd. dan UMLand Medini Lakeside Development Sdn. Bhd.
Mereka menamakan Peguam Negara, Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Jenayah Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail, Deputi Komisioner Polis Datuk Fazlisyam Abd. Majid, pegawai penyiasat Inspektor Mohd Rozimi Mustapha serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 4 Ogos 2026 di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizan Md. Arshad, lapor The Edge
Dalam afidavit sokongan yang diikrarkan oleh wakil perundangan korporat kumpulan UMLand, Jenni Teh, beliau berkata perintah penyitaan itu berkait secara langsung dengan pelaksanaan perjanjian pemisahan yang dimeterai pada 2021.
Pemindahan Hak Milik Tanah Susulan Proses Pemisahan
Sebelum pemisahan itu dilaksanakan, syarikat milik Syed Mokhtar iaitu Seleksi Juang Sdn. Bhd. (SJ) dan Wawasan Perangsang Mewah Sdn. Bhd. (WPM) memiliki 78.25% kepentingan dalam UMLand, manakala baki pegangan dimiliki oleh kumpulan Datuk Ng Eng Tee.
Di bawah perjanjian bertarikh 8 Jun 2021, kumpulan Datuk Ng sepatutnya meningkatkan pegangan kepada 50% manakala pegangan Syed Mokhtar dikurangkan kepada 50%.
Bagi membolehkan penyusunan semula pemilikan itu dilaksanakan, kumpulan Datuk Ng perlu memastikan anak-anak syarikat UMLand memindahkan 618 lot tanah di Bandar Seri Alam kepada WPM tanpa sebarang cagaran atau bebanan, manakala Syed Mokhtar akan membatalkan pegangan saham UMLand yang dimiliki melalui SJ dan WPM bagi membolehkan kumpulan Datuk Ng mengambil alih kawalan UMLand.
Menurut Jenni, beberapa perjanjian tambahan turut dimeterai antara Jun 2021 hingga 11 April 2026 bagi meminda syarat asal perjanjian pemisahan tersebut.
Beliau turut mendakwa bahawa pada 20 November 2025, seorang pengarah WPM membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dengan mendakwa Datuk Ng gagal memenuhi obligasinya di bawah perjanjian berkenaan.
Katanya, ketika laporan itu dibuat, kumpulan Datuk Ng telah berjaya memindahkan 617 daripada 618 lot tanah kepada WPM dan hanya Lot PTD 111515 masih belum dipindahkan walaupun pelbagai usaha telah dilakukan sejak November 2025 bagi menyempurnakan proses itu.
Akaun Bank dan Aset Dibeku
Susulan laporan polis tersebut, pihak berkuasa didakwa membekukan akaun bank kumpulan Datuk Ng pada Februari 2026 serta beberapa aset lain termasuk Lot PTD 111515.
Perintah pembekuan itu turut melibatkan 192 lot tanah milik anak syarikat UMLand, terdiri daripada 32 lot milik Tentu Teguh, tiga lot milik Viridea Lakeside, 156 lot milik Exquisite Mode dan satu lot milik UMLand Medini yang dikenakan pembekuan bermula 27 Februari 2026.
Walaupun perintah pembekuan ke atas akaun bank ditarik balik pada 21 Mei 2026 selepas beberapa representasi dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara, pembekuan terhadap aset tanah masih dikekalkan.
Pada 25 Mei 2026, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar mengeluarkan perintah penyitaan ke atas aset tidak alih terbabit.
Jenni berkata UMLand turut mengemukakan beberapa representasi kepada Ketua Bahagian Pengubahan Wang Haram Jabatan Peguam Negara, Sulaiman Kho Kheng Fuei, dengan menyatakan tiada sebarang kaitan atau asas undang-undang bagi kerajaan memohon pelucuthakan 192 lot tanah berkenaan.
Bagaimanapun, syarikat itu hanya menerima maklum balas pada 3 Julai 2026 bahawa representasi tersebut tidak dapat dipertimbangkan sehingga siasatan polis diselesaikan.
Tanah Disita Terbabit Projek Perumahan
Menurutnya, sebahagian tanah yang disita itu sedang dibangunkan sebagai projek perumahan, menyebabkan UMLand menerima surat tuntutan daripada pembeli rumah yang terjejas.
Melalui permohonan semakan kehakiman itu, UMLand memohon kebenaran mahkamah untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan perintah penyitaan bertarikh 25 Mei 2026, selain memohon pelepasan semua tanah yang terlibat serta kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Di bawah prosiding semakan kehakiman, pemohon perlu terlebih dahulu memperoleh kebenaran mahkamah sebelum kes boleh diteruskan ke pendengaran penuh bagi memastikan permohonan itu mempunyai asas yang munasabah dan bukan suatu penyalahgunaan proses mahkamah. - DagangNews.com








