KUALA LUMPUR 21 Julai – MBSB Research memulakan liputan terhadap UMediC Group Berhad dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) 42 sen, setelah menilai syarikat berada di titik perubahan penting.
Katanya, kumpulan itu menyasarkan untuk mempercepat pertumbuhan menerusi teknologi perubatan yang bernilai tinggi, pengembangan kapasiti pembuatan semasa, dan potensi luas eksport pasaran global.
Usaha syarikat memperkenalkan sistem teknologi neuromodulasi yang pertama seumpamanya di Malaysia, merupakan langkah peralihan daripada peralatan penjagaan kepada terapi dengan margin lebih menarik.
"Ia berfungsi merawat pesakit sawan tahan ubat, kemurungan klinikal serius serta pemulihan strok, yang mengukuhkan kedudukan UMediC dalam pasaran peralatan perubatan khusus," kata MBSB Research.
Ujarnya, permintaan rawatan itu dijangka berkembang kerana 30% pesakit di seluruh dunia mengalami epilepsi tahan ubat, manakala seorang daripada enam didiagnosis mempunyai kemurungan klinikal.
Di samping itu tambahnya, Malaysia merekodkan 450,000 pesakit strok, dengan lebih 52,000 kes baharu setiap tahun, menjadikannya antara penyebab utama kematian dan kecacatan jangka panjang di negara ini.

MBSB Research berkata, prospek jangka panjang UMediC diperkukuh menerusi pajakan tanah industri di Batu Kawan, Pulau Pinang yang bernilai RM11.4 juta selama 60 tahun bagi projek pembinaan Kilang 3.
"Fasiliti ini dijangka siap pada 2027, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran produk untuk pasaran eksport, dan diiktiraf sebagai kilang pintar dengan tahap kecekapan operasi automasi," jelasnya.
Firma itu namun mengingatkan kumpulan itu masih berdepan risiko kitaran pembayaran yang panjang daripada hospital kerajaan, turun naik harga polimer serta pergerakan kadar pertukaran mata wang.
Situasi ini ujar MBSB Research, boleh memberi tekanan kepada margin UMediC dalam jangka pendek, tetapi kedudukan kewangan yang hampir bebas hutang mengurangkan kesan perubahan kadar faedah.
Justeru, ia berpandangan saham syarikat itu masih dinilai pada harga menarik berbanding pesaing setara, disokong peralihan kepada produk yang bernilai tinggi, dan pengembangan kapasiti automasi.
"Kelulusan pihak berkuasa Amerika Syarikat bagi produk respiratori utama dan model perniagaan bersepadu diyakini menyokong pertumbuhan mampan dalam jangka panjang," katanya.- DagangNews.com








